PETALING JAYA – Luahan dan aspirasi pembantu tadbir di sekolah berhubung tugas serta kebajikan mereka mendapat perhatian Kementerian Pendidikan (KPM).
Menterinya, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, golongan berkenaan memainkan peranan penting dalam memastikan pengurusan sekolah berjalan lancar meskipun tugas mereka tidak melibatkan pengajaran di dalam bilik darjah.
Menurut beliau, pelbagai urusan termasuk pengendalian hal murid, rekod, dokumen sekolah serta perkhidmatan warga sekolah perlu diselesaikan oleh pembantu tadbir.
“Di sekolah, banyak urusan yang mungkin tidak selalu kita nampak sebenarnya perlu diselesaikan oleh seseorang.
“Daripada urusan murid, rekod, dokumen sekolah hinggalah hal perkhidmatan warga sekolah, ada pembantu tadbir yang memastikan semuanya berjalan lancar,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Fadhlina berkata, sumbangan pembantu tadbir amat mustahak bagi memastikan operasi sekolah terus berjalan dan guru dapat memberi tumpuan kepada tanggungjawab mendidik murid.
“Mereka mungkin tidak berada di dalam bilik darjah. Namun kerja mereka amat mustahak untuk memastikan sekolah terus berjalan dan guru dapat memberi tumpuan kepada anak-anak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berpeluang mendengar sendiri beberapa luahan daripada kumpulan petugas tersebut mengenai perkara yang dekat dengan tugas dan kebajikan mereka.
Katanya, terdapat perkara yang boleh diusahakan di peringkat KPM, manakala sebahagian lagi memerlukan pertimbangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Ada perkara yang boleh kita usahakan di peringkat KPM dan ada yang memerlukan pertimbangan JPA. Mana yang kita mampu usahakan, kita usahakan,” katanya.
Fadhlina turut menghargai peranan Kesatuan Pembantu Tadbir (Pendidikan) Semenanjung Malaysia (KEPTAN) yang disifatkan terus membawa suara dan aspirasi golongan berkenaan.
Beliau berkata, peranan kesatuan itu penting dalam menyampaikan pandangan serta perkara berkaitan tugas dan kebajikan Pembantu Tadbir kepada pihak berkaitan.
“Hari ini giliran kita meraikan mereka. Selamat Hari Pembantu Tadbir Pendidikan. Terima kasih atas setiap amanah yang dilaksanakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
















