fbpx
Fadhlina sewaktu lawatan ke sekolah orang asli SK Bihai. Foto ihsan Facebook FADHLINA SIDEK.

Anak Orang Asli tak perlu pergi jauh, SK Bihai, SK Sri Permai diperluas K11

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Anak-anak Orang Asli di SK Bihai dan SK Sri Permai kini berpeluang meneruskan persekolahan sehingga Tingkatan 5 lebih dekat dengan keluarga selepas kedua-dua sekolah itu diluluskan untuk peluasan K11.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, peluasan tersebut membolehkan lebih ramai pelajar Orang Asli meneruskan pendidikan menengah tanpa perlu pergi lebih jauh meninggalkan keluarga dan komuniti mereka.

“Jauh perjalanan kami masuk ke SK Bihai. Tetapi anak-anak di sini tidak sepatutnya perlu pergi lebih jauh hanya untuk meneruskan pendidikan.

“Insya-Allah, lebih ramai anak Orang Asli boleh terus belajar sehingga Tingkatan 5 lebih dekat dengan keluarga dan komuniti tempat mereka membesar,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, kerajaan turut meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi kerja-kerja penyelenggaraan SK Bihai.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas sumbangan papan pintar kepada sekolah berkenaan selain 30 buah tablet untuk kegunaan murid.

Menurutnya, usaha memperkasa pendidikan masyarakat Orang Asli di pedalaman bukan hanya tertumpu kepada penyediaan kemudahan, malah pendekatan pembelajaran yang dekat dengan kehidupan komuniti juga perlu diperkukuh.

Katanya, pedagogi rimba atau ‘naturegogy’ yang diamalkan di SK Bihai wajar diberikan perhatian kerana anak-anak Orang Asli membesar bersama alam sekitar termasuk sungai dan hutan.

“Ada ilmu yang mereka kenal bukan daripada buku tetapi daripada komuniti dan alam yang membesarkan mereka. Sebab itu pedagogi rimba atau ‘naturegogy’ yang ada di sini harus kita kuatkan,” katanya.

Tambahnya, pendekatan itu semakin penting ketika perubahan iklim memberi kesan langsung kepada komuniti Orang Asli yang kehidupannya berkait rapat dengan alam sekitar.

“Saya mahu anak-anak SK Bihai belajar setinggi-tingginya, kenal dunia seluas-luasnya dan pergi sejauh mana pun cita-cita membawa mereka.

“Apabila mereka sampai ke puncak kejayaan nanti, biarlah mereka masih tahu jalan pulang ke rimba yang membesarkan mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN