fbpx
Kitson ketika ditemui pemberita selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Foto oleh SADDAM YUSOFF/KOSMO!

Tikam di sekolah: Pelajar tidak waras, dihantar ke Hospital Bahagia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Perbuatan kejam remaja lelaki menikam mati seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di tandas sekolah dengan 180 kesan tikaman tahun lalu tidak membawa kepada sabitan membunuh selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini mendapati tertuduh tidak waras ketika kejadian.

Sebaliknya, remaja berusia 15 tahun itu diarahkan menjalani rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak berkuat kuasa hari ini sehingga mendapat pengampunan daripada Sultan Salangor.

Keputusan itu dibuat selepas Hakim Adlin Abdul Majid menerima laporan pakar psikologi yang mengesahkan pelajar tersebut mengalami skizofrenia dan tidak waras ketika menikam mangsa.

Peguam tertuduh, Kitson Foong berkata, pihak pembelaan berjaya membuktikan keadaan anak guamnya memenuhi peruntukan Seksyen 84 Kanun Keseksaan berkaitan ketidakwarasan fikiran atau ‘medical insanity’.

“Mahkamah menerima hakikat penama tidak waras dan mengalami skizofernia ketika menikam pelajar perempuan itu pada waktu dan tarikh kejadian,” katanya pada sidang akhbar selepas prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini.

Seksyen 84 Kanun Keseksaan memperuntukkan sesuatu perbuatan tidak menjadi kesalahan jika dilakukan akibat ketidakwarasan fikiran tidak berupaya mengetahui sifat perbuatannya atau perbuatan itu salah atau bertentangan dengan undang-undang.

Kitson berkata, meskipun tidak disabitkan atas pertuduhan membunuh, anak guamnya diarahkan menjalani rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta berkuat kuasa hari ini.

“Dia akan menjalani rawatan di sana sehingga mendapat pengampunan Sultan Selangor memandangkan kejadian berlaku di Selangor,” katanya.

Menurutnya, keputusan mahkamah turut dibacakan dalam bahasa Mandarin dan difahami pelajar lelaki berkenaan.

Pendakwaan dibarisi Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Ahmad Iqbal Azman.

Pada 13 Ogos lalu, mahkamah memerintahkan seorang pelajar lelaki membela diri apabila pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie selepas 11 saksi dipanggil memberi keterangan.

Antara saksi pendakwaan yang dipanggil ialah tiga kanak-kanak, guru sekolah, ibu mangsa dan pakar patologi.

Mengikut pertuduhan, remaja lelaki berusia 14 tahun (ketika kejadian) itu didakwa membunuh pelajar perempuan berusia 16 tahun di tandas perempuan sebuah sekolah di Bandar Utama pada pukul 9.20 hingga 9.35 pagi, 14 Oktober 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan

Bagaimanapun, di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001, hukuman mati tidak boleh dijatuhkan terhadap seseorang yang merupakan kanak-kanak pada masa kesalahan itu dilakukan.

Seksyen 97(2) memperuntukkan seseorang yang disabitkan atas kesalahan sedemikian hendaklah ditahan selama diperkenan Yang di-Pertuan Agong jika kesalahan itu dilakukan di Wilayah Persekutuan, atau Raja atau Yang di-Pertua Negeri sekiranya dilakukan di negeri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN