fbpx
Pasukan SMART di Dhunche, Nepal bagi persiapan operasi SAR sebelum ini. Foto IHSAN NADMA

SMART pulang dari Nepal, usaha kesan 55 rakyat Malaysia diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Status 55 rakyat Malaysia yang terjejas dalam insiden banjir dan tanah runtuh di Nepal-Tibet kekal menjadi tanda tanya walaupun Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) sudah pulang ke tanah air hari ini.

Kementerian Luar Negeri (KLN) berkata, ketika ini, bilangan rakyat Malaysia yang gagal dihubungi kekal 55 orang dan usaha mendapatkan kepastian mengenai status mereka akan terus dilaksanakan.

“Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan, SMART yang kembali dari Nepal hari ini akan memberikan taklimat kepada KLN mengenai penugasan dan maklumat yang diperoleh sepanjang operasi di lapangan.

“Sepanjang penugasannya, SMART melaksanakan aktiviti pencarian di kawasan yang boleh diakses dengan selamat dan dibenarkan oleh pihak berkuasa Nepal termasuk pencarian di darat dan tinjauan udara menggunakan dron,” katanya di sini hari ini.

Seterusnya, KLN bersama agensi berkaitan akan meneliti maklumat diperoleh SMART serta perkembangan semasa yang diterima dari Nepal bagi menentukan tindakan susulan bersesuaian.

“Berakhirnya penugasan SMART di lapangan tidak bermakna usaha untuk mendapatkan kepastian mengenai status rakyat Malaysia telah tamat dan tidak mengubah status semasa mereka.

“Kesemua 55 rakyat Malaysia tersebut kekal direkodkan sebagai masih belum dapat dihubungi sementara proses berkaitan bagi menentukan status setiap individu terus dilaksanakan,” katanya.

Ujar KLN, berdasarkan maklumat terkini dari Nepal, pihak berkuasa negara itu terus melaksanakan usaha pencarian, pengesahan dan pengecaman susulan bencana tersebut.

“Bagi menyokong usaha tindak balas yang masih dilaksanakan pihak Nepal, SMART memberikan latihan pengendalian dron kepada anggota penyelamat Nepal.

“Sembilan buah dron diserahkan kepada Kerajaan Nepal melalui National Disaster Risk Reduction and Management Authority (NDRRMA),” katanya.

Selain itu, tindakan susulan Malaysia di Nepal akan diteruskan melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu.

“Kedutaan Besar akan terus mendapatkan maklumat secara langsung daripada NDRRMA dan pihak berkuasa Nepal, membuat semakan dengan hospital serta agensi berkaitan.

“Ia termasuk melaksanakan semakan atau lawatan susulan sekiranya keadaan keselamatan mengizinkan serta setelah mendapat kelulusan pihak berkuasa Nepal,” jelasnya.

Pada masa sama, usaha Malaysia turut diteruskan berhubung perkembangan di China yang mana Kedutaan Besar Malaysia di Beijing akan terus berhubung dengan pihak berkuasa China mengenai rakyat Malaysia yang terjejas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN