ALOR SETAR – Seorang abang berusaha sedaya upaya menyelamatkan adiknya yang terjatuh ke dalam longkang di Taman Desa Kayangan, Kulim semalam dengan melakukan bantuan pernafasan (CPR), namun kanak-kanak itu tidak menunjukkan sebarang tindak balas.
Menurut Muhammad Irfan Hafizuddin Khairol Anuar, 20, usaha itu dilakukan bersama beberapa lagi individu selama 15 minit sebelum adiknya, Muhammad Iman Nuruddin, 10, dikejarkan ke Hospital Kulim dengan ambulans.
“Sebelum itu ibu minta saya mencari adik kerana dia belum pulang ke rumah sebab sudah nak masuk waktu maghrib. Sebaik keluar, dari jauh saya nampak orang ramai berkumpul dekat longkang.
“Saya segera ke sana dan terkejut melihat adik dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dinaikkan dari longkang. Beberapa individu buat CPR, saya turut memberikan bantuan pernafasan sebelum ambulans sampai.
“Waktu itu tiada sebarang tindak balas daripada adik,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Cerita pemuda itu, adiknya dan seorang lagi rakan yang dikejarkan ke hospital kemudian disahkan meninggal dunia, manakala dua lagi kanak–kanak maut di lokasi kejadian.
“Adik bongsu saya dipercayai mangsa pertama yang dijumpai. Adik ditemukan di dalam longkang, manakala beberapa lagi mangsa dihanyutkan sehingga ke kolam tadahan berdekatan,” ujarnya.
Menurut Muhammad Irfan, dia dimaklumkan kejadian lemas itu dipercayai berlaku ketika empat kanak-kanak tersebut termasuk adiknya mahu mengambil bola yang terjatuh ke dalam longkang.
“Rumah saya dan padang bola dekat sahaja, boleh nampak dari jauh. Semasa hujan, mereka dah tak main bola dan saya pun tidak pasti bagaimana kejadian (lemas) itu berlaku,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan empat kanak-kanak maut selepas terjatuh ke dalam longkang dipercayai ketika mahu mengambil bola di Taman Desa Kayangan, Kulim malam semalam.
Dua daripada mangsa berusia 12 tahun maut di lokasi kejadian, manakala dua lagi berusia lapan dan 10 tahun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital. – KOSMO! ONLINE
















