fbpx
Noor Hisam (kanan) menyampaikan sijil kepada pelatih pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa/Siswi Universiti Awam Ke-22 2026 di UMK Kampus Bachok hari ini. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/KOSMO!

Sindiket pakar rekrut mahasiswa jadi keldai dadah, akaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BACHOK – Sindiket merekrut keldai dadah dan akaun mempunyai kepakaran mempengaruhi mahasiswa bagi menarik golongan itu menyertai kegiatan mereka.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, imbuhan lumayan turut mendorong pelajar sehingga mereka sanggup menjadi keldai dadah dan akaun.

Katanya, siasatan mendapati, selain pelajar universiti, sindiket keldai dadah dan akaun juga menyasarkan golongan muda untuk terlibat dalam kegiatan jenayah tersebut.

“Sindiket ini pakar dalam mempengaruhi pelajar. Jadi, sebagai orang terpelajar, mahasiswa perlu bijak dengan mendapatkan nasihat daripada pihak tertentu terutama pensyarah.

“Mungkin tarikan dari sudut imbuhan menyebabkan mereka terjebak. Justeru, jangan mudah terperdaya dengan propaganda atau publisiti yang diberi oleh pihak ketiga ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa/Siswi Universiti Awam Ke-22 2026 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok di sini hari ini.

Noor Hisam berkata, mahasiswa yang mempunyai masa hadapan yang cerah perlu berhati-hati agar tidak terpengaruh dengan sindiket keldai dadah atau akaun.

“Golongan terpelajar, bijak pandai perlu sentiasa menapis elemen-elemen yang ada di media sosial. Jangan mudah percaya,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita rakyat Malaysia berusia 22 tahun ditahan pihak berkuasa India selepas membawa dadah jenis ganja seberat 15 kilogram di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, New Delhi pada 4 September lalu.

Wanita berasal dari Perak itu ditahan selepas pemeriksaan pihak Kastam India terhadap bagasi miliknya mengandungi 30 bungkusan berisi dadah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN