fbpx
Muhammad Rizal melakukan kerja-kerja restorasi salah sebuah motosikal Yamaha RXZ pelanggan di bengkelnya di Kampung Losong Masjid, Kuala Terengganu semalam.

‘Saya tidur tiga jam sehari gara-gara RXZ’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Pe­­ng­anjuran Himpunan RXZ Members 8.0 memberi limpahan rezeki bukan sahaja kepada pemilik inap desa tetapi pengusaha bengkel apa­bila mereka tidak menang ta­ngan menyiapkan kerja-kerja restorasi motosikal Yamaha RXZ.

Rata-rata mereka memaklumkan, mula menerima tempahan motosikal untuk diselenggara agar tampak lebih ‘cantik dan gah’ bagi menghadiri perhimpunan terbesar tahunan bermula Jumaat ini sejak lebih sebulan lalu.

Lebih menarik terdapat pemilik motosikal sanggup berhabis sehingga RM34,000 demi memastikan jentera kesayangan berada pada tahap optimum.

Seorang mekanik, Muhammad Rizal Ismail, 34, berkata, bengkelnya menerima peningkatan pelanggan dalam kalangan pemilik motosikal Yamaha RXZ tiga kali ganda atau purata 10 buah seminggu sejak sebulan lalu.

Menurutnya, pelanggan yang mendapatkan khidmatnya bukan sahaja dari negeri ini malah seluruh Semenanjung Malaysia.

“Setiap kali menjelang perhimpunan RXZ Members, rezeki saya memang murah. Minggu-minggu terakhir menjelang penganjuran RXZ Members, operasi bengkel akan dilanjutkan dengan saya hanya dapat tidur maksimum tiga jam sehari.

“Kebanyakan mereka mahu menukar alat ganti dan aksesori baharu bagi memastikan motosikal masing-masing berada dalam tahap optimum dan terbaik sewaktu perhimpunan RXZ Member 8.0,” katanya ketika ­ditemui di bengkel motosikalnya di Kampung Losong Masjid di sini ­semalam.

Muhammad Rizal berkata, rata-rata pelanggannya mem­belanjakan sekurang-kurangnya RM18,000 bagi kos retorasi motosikal Yamaha RXZ mereka.

Dia yang berpengalaman sebagai mekanik sejak berusia 18 tahun memberitahu, upah ter­tinggi diterima bagi kerja-kerja restorasi motosikal Yamaha RXZ pada harga RM34,000 yang dite­rimanya beberapa tahun lalu.

“Ia melibatkan kerja-kerja restorasi hampir keseluruhan motosikal dengan penggunaan alat ganti dan aksesori berkualiti dan sukar diperoleh di pasaran.

“Caj dikenakan bergantung kepada keadaan motosikal, jenis alat ganti dan aksesori yang digunakan dan sejauh mana proses restorasi itu perlu dilakukan,” ujarnya.

Muhammad Rizal berkata, biarpun kebanyakan aksesori Yamaha RXZ masih mudah dicari di pasaran namun sesetengah­nya sukar diperoleh selain perlu diimport menyebabkan harga­nya mahal.

Katanya, penjagaan ­komponen yang dianggap ‘item panas’ itu juga perlu lebih ­teliti sehingga perlu di simpan di dalam rumah bagi mengelak risiko kecurian.

Muhammad Rizal berkata, erti kepuasan sebenar dirinya sebagai mekanik bukan upah yang diterima tetapi maklum balas pelanggan yang berpuas hati menggayakan motosikal Yamaha RXZ masing-ma­sing pada perhimpunan tahunan di Litar Permotoran Terengganu di Gong Badak, Kuala Nerus.

“Setiap kali motosikal Yamaha RXZ tular kerana reka bentuk dan prestasinya yang menakjubkan, pasti sebahagiannya hasil kerja restorasi saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN