GEORGE TOWN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melancarkan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) siri eksklusif P P sempena ulang tahun ke-80 yang akan diadakan di Batu Kawan di sini nanti.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, penawaran nombor pendaftaran istimewa itu sebagai simbolik memperingati lapan dekad peranan dan sumbangan jabatan dalam pembangunan sistem pengangkutan negara.
Menurutnya, pengenalan siri khas itu juga mencerminkan identiti, legasi dan evolusi JPJ sebagai agensi peneraju dalam pengurusan dan penguatkuasaan pengangkutan jalan raya di negara ini.
“NPI siri P P akan ditawarkan kepada orang awam melalui kaedah bidaan secara dalam talian menerusi Sistem JPJeBid.
“Ini bagi memastikan proses yang telus, teratur dan efisien di samping memberi peluang kepada pengguna untuk memiliki nombor pendaftaran bernilai tinggi,” katanya pada akhbar sempena pengumuman penawaran NPI di sini, hari ini.
Jelasnya, nombor pendaftaran itu akan mula dibuka pada 20 April dan ditutup pada pukul 10 malam, 24 April. Keputusannya pula dijangka diketahui pada 25 April dalam tempoh 24 jam.
Harga bidaan dalam JPJeBid adalah RM20,000 bagi Nombor Bernilai Utama (Golden), RM5,000 (Premium), RM2,500 (Menarik), RM500 (Popular) dan RM300 (Biasa).
Mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida maestilah didaftarkan pada kenderaan dalam masa 12 bulan dari tarikh surat keputusan bidaan rasmi dikeluarkan. -KOSMO! ONLINE














