BUKIT KAYU HITAM – Keseronokan 37 individu berhibur di Thailand termasuk menyertai pesta Songkran sambil mengambil dadah berakhir duka apabila mereka ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sini sejak kelmarin.
Kesemua mereka yang diberkas dalam operasi khas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam itu terdiri daripada 33 lelaki dan empat wanita berusia antara 17 hingga 46 tahun.
Pengarah AADK Kedah, Md. Razif Wan berkata, operasi tersebut dijalankan berdasarkan maklumat risikan Unit Antidadah Sempadan (UAS) bahawa ramai rakyat Malaysia merentas sempadan bagi tujuan berhibur di sekitar Danok bersempena pesta Songkran.
“Sebanyak 25 buah kereta dan 35 motosikal telah diperiksa sejak pagi Sabtu lalu hingga semalam dan seramai 47 individu diminta menjalani ujian saringan air kencing.
“Hasil ujian tersebut mendapati seramai 37 orang terdiri daripada 33 lelaki dan empat wanita positif dadah atau bahan terlarang. Seramai 17 orang positif ketamin, MDMA (14), methamphetamine (4) dan THC (2),” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini.
Katanya, seramai 23 daripada mereka berasal dari Kedah, tujuh dari Perlis, lima dari Pulau Pinang dan dua dari Johor.
Menurutnya, dua remaja lelaki berusia 17 tahun yang masih bersekolah antara yang ditahan dengan suspek pertama diberkas bersama rakannya berusia 22 tahun.
“Suspek pertama ditahan pada pukul 11 malam Sabtu bersama rakan lelaki yang turut positif dadah. Mengikut maklumat, remaja tersebut tidak mempunyai masalah disiplin di sekolah dan merupakan pelajar yang baik.
“Apabila dia disahkan positif, ibu dan gurunya terkejut. Hasil siasatan mendapati remaja itu hanya mengikut rakannya yang sememangnya mempunyai banyak kes, malah ahli keluarganya juga ada yang terlibat dengan dadah. Ini akibat salah pilih kawan,” ujarnya.
Beliau berkata, seorang lagi remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan pada pukul 2.30 petang semalam bersama kakaknya berusia 21 tahun.
“Hasil saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif methamphetamine, MDMA dan ketamin,” jelasnya sambil memberitahu kesemua individu terlibat ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih dan Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, sebahagian daripada mereka mendakwa mengetahui kemungkinan akan ada sekatan jalan raya dan pemeriksaan urin oleh AADK di sempadan, namun tetap mengambil risiko dengan harapan tidak ditahan.
“Kebanyakan yang ditahan merupakan pengguna kali pertama atau mengambil dadah di pusat hiburan sekadar untuk berhibur. Kita melihat mereka masih mempunyai peluang untuk berubah dan tidak terjebak dengan penagihan yang lebih serius,” katanya. – KOSMO! ONLINE














