fbpx
Seramai 48 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi kumpulan pertama menyertai Malaysia Border Guard (MBG) dan mula ditempatkan di tiga lokasi strategik hari ini.

48 bekas tentera jadi kumpulan pertama jaga sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG – Seramai 48 bekas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi kumpulan pertama yang menyertai Malaysia Border Guard (MBG) dan mula ditempatkan di tiga lokasi strategik hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, seramai 31 anggota ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 14 di Pelabuhan Klang dan tiga lagi di ibu pejabat Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).

Menurut beliau, kumpulan tersebut disifatkan ‘unik’ kerana mereka merupakan bekas anggota ATM yang berpengalaman dalam perkhidmatan darat, laut dan udara.

“Mereka ada pengalaman dan kemahiran serta menjadi aset penting khususnya dalam penugasan kawalan sempadan di bawah AKPS,” katanya pada Majlis Peluncuran Inisiatif MBG (Veteran ATM) 2026 di bawah AKPS di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, pengambilan itu merupakan sebahagian daripada sasaran keseluruhan 220 anggota MBG yang direkrut secara berperingkat sepanjang tahun ini.

Beliau turut memaklumkan cadangan penggunaan senjata oleh anggota MBG sedang diperhalusi di peringkat kementerian. Cadangan itu akan dikemukakan susulan insiden di Bukit Kayu Hitam dan mengambil kira risiko tinggi dalam penugasan kawalan sempadan.

‘Penugasan ini sememangnya berisiko. Jika melibatkan ancaman nyawa, maka ada kewajaran untuk mempertimbangkan penggunaan senjata bersesuaian dengan tugas mereka.

“Bagaimanapun, perkara itu masih dalam penelitian dan saya sedang menunggu maklum balas lanjut sebelum keputusan dibuat dalam tempoh munasabah,” jelasnya.

Terdahulu, beliau berkata, peluncuran MBG hari ini dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh kawalan sempadan negara selaras dengan fungsi teras AKPS.

Sementara itu, Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, seramai 48 bekas ATM berjaya melalui proses saringan meliputi ujian psikometrik, ujian fizikal serta sesi temuduga.

“Pengalaman luas dalam bidang pertahanan apabila digembleng bersama peranan di pintu-pintu masuk utama negara akan membentuk satu barisan hadapan yang lebih mantap, berintegriti dan berwibawa dalam mempertahankan kedaulatan negara,” katanya. – KOSMO! ONLNE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN