PETALING JAYA – Cameron Night Run (CAMRUN) 2026 mencipta sejarah tersendiri apabila mencatat penyertaan tertinggi sejak penganjurannya dengan lebih 5,000 peserta memeriahkan acara larian yang berlangsung di Tanah Rata, Cameron Highlands, semalam.
Memasuki edisi keenam, CAMRUN bukan sahaja menawarkan pengalaman berlari dalam suasana dingin, malah turut diserikan dengan sambutan perayaan menerusi program ‘Ngeteh Raya’ serta pelbagai aktiviti interaktif.
Difahamkan, acara itu yang meraikan semua lapisan masyarakat dan komuniti larian turut menyaksikan lebih 200 penyertaan daripada golongan orang kurang upaya (OKU).
Pengarah Pemasaran dan Komunikasi BOLT 360 Management Sdn. Bhd., Azlihana Abdul Rahim berkata, laluan mencabar dengan ketinggian terkumpul mencecah 1,600 meter menjadikan acara tersebut antara pilihan utama dalam kalangan pelari tempatan dan antarabangsa.
Menurutnya, CAMRUN tahun ini yang bertemakan ‘Ketupat & Lemang Raya’ turut menampilkan elemen budaya tempatan melalui pelbagai aktiviti seperti teka lagu raya, teka kuih raya dan pertandingan anyaman ketupat.
“Penganjuran pada bulan Syawal memberi peluang kepada peserta merasai pengalaman berlari dalam suasana perayaan yang unik, sekali gus mengeratkan hubungan komuniti,” katanya.
Beliau berkata, program tersebut turut diiktiraf sebagai produk pelancongan sukan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) serta Tourism Pahang.
CAMRUN yang dianjurkan oleh BOLT 360 Management Sdn. Bhd. dengan sokongan rakan penaja utama, Megaklinik Dr. Suffian mempertandingkan tiga kategori iaitu 5 kilometer (km), 10km dan 21km dengan tawaran hadiah keseluruhan melebihi RM26,000.
Selain peserta tempatan, acara itu turut menarik penyertaan pelari antarabangsa dari Indonesia, China, Kanada, Singapura, Thailand dan Brunei, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai acara larian bertaraf antarabangsa.
Dalam pada itu, rekod bagi 21km Men Open yang dipegang oleh Mohd. Syahidan Alias (1 jam 20 minit) berjaya dipecahkan oleh Ahmad Syakir Alwi dengan catatan masa satu jam 19 minit sekali gus mencipta rekod baharu selepas enam tahun.
Bagi kategori wanita pula, Yeoh Zi Kean muncul juara untuk 21KM Women Open dengan masa satu jam 55 minit. – KOSMO! ONLINE














