PETALING JAYA – Pempengaruh sensasi dikenali sebagai Tareq Fit melahirkan rasa kecewa selepas selebriti versatil yang juga penyampai radio Era menggelar ibunya sebagai pelayan pusat hiburan atau GRO.
Tareq berkata, perkara tersebut mula tercetus selepas dia memberi nasihat kepada Azad mengenai dunia hiburan boleh merosakkan akhlak.
“Ini ke akhlak seorang artis yang kalian sokong? Kurang ajar betul.
“Aku tegur fasal jangan tayang aurat orang rumah, jangan goyang-goyang. Kau sudah tua dan jangan rosakkan akhlak ummah.
“Tiba-tiba libatkan mak aku dengan benda yang tidak elok langsung.
“Percaya bila aku cakap tentang geng-geng hiburan haram ini, mengejek pasal kubur, astaghfirullah,” katanya dalam platform Threads.
Dalam perkongsian tersebut, antara respons balas Azad adalah memanggil ibu Tareq sebagai ‘mak ang’.
“Hang (kau) tanya aku halal atau tidak bukan? Jawapan aku ringkas saja, ‘mak ang’.
“Sekali lagi nak pesan, sebelum hang nak menunggang (agama), fikir-fikirlah ‘mak ang’ nah.
“Kasihan tau, sebab anak menunggang, ‘mak ang’ yang kena tanggung. Ish, parah dah kau ini,” balasnya.
Jika sebelum ini Tareq sering dikecam, berbeza pula kali ini apabila ramai berpendapat tindakan Azad memburukkan ibu Tareq adalah tidak wajar.
Lebih teruk, terdapat segelintir netizen yang mahu memboikot radio Era kerana perkara tersebut.
“Era FM, maaf kami nak boikot kalau Azad masih ada. Banyak sangat kes dia ini, perangai serius teruk.
“Aku pun tak suka Tareq tetap cara Azad balas sumpah kurang ajar.
“Zaman bila bergaduh main mak pula, memalukan betul. Macam ini ke kualiti pekerja Era FM?” komen netizen.
Sebelum ini, Azad bersama dua lagi penyampai radio Era, Nabil Mahir dan Radin pernah terpalit dengan kontroversi video mereka yang didakwa memperlekehkan ritual kavadi semasa Thaipusam. – KOSMO! ONLINE














