PETALING JAYA – Satu hantaran berseloroh di Threads mencuri perhatian pengguna media sosial apabila mendakwa daerah Besut kini seolah-olah melepasi Zuhrah dan semakin menghampiri Matahari susulan cuaca panas yang melanda kawasan itu.
Menerusi hantaran pengguna Threads @ahnaf_sam, kenyataan itu dibuat secara sinis dengan menyifatkan keadaan suhu yang tinggi di kawasan tersebut seakan-akan berada lebih hampir dengan sistem suria.
“Perhatian! Besut kini melepasi Zuhrah dalam sistem suria. Semakin menghampiri Matahari,” tulisnya.
Hantaran tersebut turut disokong beberapa penduduk di sekitar Besut dan Terengganu.
“Memang makin panas di Besut, gi Kuala Terengganu pun meleleh peluh,” kata Juraimi.
“Malam dengan siang hari tidur serupa duduk dalam oven,” seloroh Syam.
Bagaimanapun, keadaan cuaca panas yang dirasai di beberapa kawasan di utara dan pantai timur Semenanjung sememangnya mencatatkan suhu tinggi berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).
Setakat pukul 6 pagi tadi, MetMalaysia memaklumkan sebanyak tujuh kawasan masih berada pada kategori amaran tahap 1 (berjaga-jaga) dengan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius, khususnya di Kangar, Alor Setar serta beberapa kawasan lain di utara Semenanjung.
Dalam masa sama, suhu di sekitar Terengganu termasuk Besut pula direkodkan sekitar 33 darjah Celsius, iaitu sedikit lebih rendah berbanding kawasan yang berada dalam kategori amaran.
Sementara itu, lain-lain kawasan di Semenanjung merekodkan suhu harian sepanjang hari ini antara 32 hingga 34 darjah Celsius. – KOSMO! ONLINE














