PORT-AU-PRINCE – Rempuhan di sebuah kubu bersejarah di Haiti telah membunuh sekurang-kurangnya 30 orang, kata seorang menteri kepada AFP semalam, dengan insiden itu dilaporkan melibatkan sejumlah pelawat muda.
“Menteri Kebudayaan dan Komunikasi mengesahkan kematian 30 orang di Citadelle Henri pada hari Sabtu, 11 April 2026,” kata Menteri Kebudayaan, Emmanuel Menard kepada AFP dalam mesej bertulis.
“Mereka yang cedera menerima rawatan perubatan, manakala pasukan penyelamat sedang mencari mangsa yang masih hilang,” kata Menard tanpa memberikan angka tepat mengenai bilangan yang cedera.
Citadelle Henri yang juga dikenali sebagai Citadelle Laferriere, adalah sebuah kubu abad ke-19 dan tempat tumpuan pelancong yang popular.
“Tapak Warisan Dunia UNESCO itu ditutup kepada pelawat sehingga diberitahu kelak,” kata Menard.
Ketua Pejabat Perlindungan Awam di Haiti Utara, Jean Henry Petit memberitahu akhbar Le Nouvelliste bahawa angka korban boleh meningkat disebabkan bilangan besar orang yang dilaporkan hilang.
Puluhan orang turut cedera dan dibawa ke hospital, lapor media tersebut.
Laporan awal mengatakan pelawat yang kebanyakannya golongan muda, bersesak di satu pintu masuk dan berlaku pergelutan antara mereka yang cuba keluar dan masuk ke tapak itu.
Laporan media tempatan lain mengatakan bahawa perhimpunan itu berlaku selepas ia diiklankan di platform TikTok.
Kerajaan menggesa rakyat agar bertenang dan berhati-hati sementara siasatan dijalankan. – AFP














