ROMPIN – Selepas berdepan harga upah mesin padi dan lori naik, pesawah di Paya Sepayang terpaksa berdepan masalah hasil tanaman menjadi ‘merah’ dan mati.
Penyakit yang tidak dapat dikenal pasti ini membuatkan padi yang ditanam nampak merah apabila daun-daunnya rosak dan akhirnya menyebabkan padi itu mati.
Berdasarkan tinjauan di Paya Sepayang di sini semalam mendapati terdapat banyak kawasan padi mengalami keadaan sama menyebabkan padi rosak teruk.
Seorang petani, Basri Ismail,48, berkata, dia mendapati penyakit itu mula menyerang padinya sejak tiga minggu lalu bermula sedikit demi sedikit.
Katanya, dia pelik kerana dia meracun serangga hampir setiap minggu, namun penyakit ‘merah’ berkenaan tetap merebak.
“Ini kali pertama saya kena macam ini, saya tidak tahu apa lagi racun yang hendak digunakan malah semua pesawah juga tidak tahu punca penyakit ini menyebabkan saya terpaksa menanggung kerugian.
“Racun apa lagi nak guna pun saya tak tahu, kalau tengok memang saya sudah tidak ada semangat dan terpaksa membiarkan sahaja,” katanya ketika ditemui di sawah Paya Sepayang di sini semalam.
Katanya, dengan keadaan yang semakin merebak pada masa ini dia sudah tentu berhadapan dengan kerugian selepas melaburkan lebih RM3,000 bagi mengusahakan sawah seluas kira-kira 1.2 hektar.
Tambahnya, setakat ini tiada lagi pihak berkuasa berkenaan datang melawat sawahnya atau memaklumkan mengenai punca serangan penyakit itu.
Dalam pada itu, seorang lagi pesawah, Mohd. Fazrul Amri Yahya,40, berkata, penyakit ‘merah’ berkenaan telah menyerang kesemua padinya di kawasan seluas kira-kira 1.2 hektar.
Katanya, dengan keadaan itu dia sudah tentu mengalami kerugian dan masih belum membuat keputusan untuk menuai atau membiarkan sahaja padi berkenaan.
“Dengan upah mesin meningkat susulan kenaikan harga diesel pada masa ini, saya tidak pasti dapat menuai kerana mungkin jualan padi tidak dapat menampung pembayaran upah.
“Apa lagi yang saya hendak lakukan, saya tidak tahu apa punca dan racun apa yang hendak digunakan lagi untuk masalah ini,” ujarnya.














