JAKARTA – Seorang wanita di Bandung, wilayah Jawa Barat tular di media sosial selepas mendedahkan bahawa bayinya hampir tertukar akibat jururawat yang cuai, lapor portal berita iNews.
Kejadian berlaku di Hospital Dr. Hasan Sadikin (RSHS), baru-baru ini.
Berdasarkan video di platform TikTok oleh akaun @nindy5760, wanita bernama Nina Saleha menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap beberapa jururawat di hospital tersebut selepas mendapati bayinya telah diberikan kepada orang lain.
“Bayi saya dimasukkan ke unit rawatan intensif neonatal (NICU) selama empat hari. Saya kemudian diminta oleh pihak hospital untuk membawa pakaian bayi dan selimut.
“Saya terkejut apabila melihat bayi saya berada di tangan orang tidak dikenali,” kata Nina.
Wanita itu semakin berang apabila salah seorang jururawat mendakwa Nina tidak pernah datang ke hospital meskipun dipanggil berulang kali.
Susulan kejadian itu, pihak hospital tampil memohon maaf dan bayi tersebut telah dipulangkan semula ke Nina. – AGENSI














