KOTA BHARU – Institut Silat Seni Gayong Malaysia (ISG) Utama di Kok Lanas di sini mencatatkan sejarah tersendiri apabila ditauliahkan sebagai pusat seni bela diri pertama di negara ini yang menerima pensijilan rasmi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
Ketua Pengarah JPK Kementerian Sumber Manusia, Dr. Kamaruzaman Md. Ali berkata, pentauliahan tersebut diberikan kepada ISG tersebut bagi melaksanakan program Persijilan Kemahiran melalui mod Akademi Dalam Industri (ADI).
Katanya, program berkenaan distrukturkan mengikut Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) untuk seni bela diri sekali gus diiktiraf di peringkat kebangsaan.
“Ia merupakan program pertama seni bela diri di negara ini yang dijajarkan dengan NOSS JPK apabila dilaksanakan secara berstruktur bersama rakan industri.
“Sebanyak 20 hingga 30 peratus latihan ADI dijalankan di institusi manakala 70 hingga 80 dilakukan di peringkat industri,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majis Penyampaian Sijil Pentauliahan TVET Martial Arts di ISG Utama di Kok Lanas di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Kamaruzaman memberitahu, ISG akan mengendalikan latihan di institusi, manakala Amru Ventures pula bertindak sebagai rakan industri bagi melengkapkan komponen latihan praktikal.
Menurutnya, fokus utama program berkenaan adalah dalam bidang seni bela diri khususnya Seni Silat Gayong.
“Program tersebut juga mendapat kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang berperanan sebagai rakan industri, termasuk menjadikan Briged Gayong Malaysia sebagai kokurikulum berkredit selama dua tahun.
“Sepanjang tempoh itu, pelajar akan menjalani latihan berstruktur yang merangkumi aspek kemahiran, pengetahuan dan sikap sebelum dianugerahkan sijil,” ujarnya.
Beliau berkata, sebelum ini, tiada institusi latihan seni bela diri memohon untuk dipersijilkan di bawah NOSS JPK meskipun sudah mempunyai struktur kurikulum tersendiri.
Menurutnya, pihaknya perlu menyusun semula struktur latihan supaya selari dengan standard pekerjaan yang menitikberatkan kompetensi tanpa syarat ketat ditetapkan.
“JPK menilai empat perkara utama iaitu premis, tenaga pengajar, kurikulum dan peralatan latihan. Program berkenaan ditawarkan pada tahap tiga dan empat di bawah kerangka TVET, dengan potensi diperluaskan sehingga tahap lima iaitu diploma lanjutan seterusnya ke tahap enam hingga lapan pada masa depan.
“Pensijilan tersebut memberi nilai tambah kepada pelajar untuk menceburi pelbagai laluan kerjaya termasuk sebagai jurulatih profesional, tenaga pengajar atau meningkatkan peluang pekerjaan sedia ada,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Pengajian ISG Malaysia, Muhamad Amru Rusli berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira setahun untuk menepati NOSS yang ditetapkan JPK untuk menerima pensijilan rasmi TVET.
Menurutnya, setakat ini, seramai 80 orang pelajar yang ingin mendapatkan sijil TVET silat gayong sudah berdaftar dan 20 orang mendapat Sijil TVET Seni Beladiri (Pengkhususan Silat Seni Gayong).
“Pelajar yang bergiat secara tradisional, berguru atau berpersatuan ke peringkat yang seterusnya selepas menerima sijil TVET. Selain itu, Pengarah Pusat Kokurikulum UMK, Dr. Razman Hafifi Redzuan banyak membantu pihak kami dalam menepati segala aspek dalam bidang TVET.
“Pensijilan itu mampu memberi impak yang besar apabila pelajar silat boleh memohon sebagai tenaga pengajar di universiti atau memohon pekerjaan rasmi kerana kerangka yang kita ada diiktiraf JPK,” katanya. – KOSMO! ONLINE














