SHAH ALAM – Lebih daripada 600 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 bersama ibu bapa mereka dari seluruh negara telah diraikan dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Eskayvie Mindtropic 2026 di sini kelmarin.
Pengarah Urusan Eskayvie, Dr Kartika Wati Mohamed berkata, majlis itu bukan sahaja platform penghargaan yang sekadar meraikan kejayaan akademik tetapi juga untuk mengangkat mesej lebih besar tentang bagaimana potensi anak-anak perlu disokong, dibina dan disuburkan secara konsisten bermula dari rumah.
Menurutnya, dalam dunia yang semakin mencabar hari ini, kejayaan anak tidak lagi boleh diukur melalui keputusan peperiksaan semata-mata tetapi perlu dilihat secara lebih menyeluruh melalui keupayaan mereka untuk berfikir secara kritis, berdaya tahan, kreatif, menyesuaikan diri dan terus berkembang dalam persekitaran yang sentiasa berubah.

“Potensi anak tidak hanya dibina di dalam bilik darjah, tetapi bermula dari rumah melalui pemakanan yang seimbang, sokongan emosi yang konsisten, tidur yang mencukupi, persekitaran belajar yang tenang dan keyakinan yang dibina hari demi hari sehingga mereka dewasa,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersempena majlis tersebut.
Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Eskayvie Mindtropic 2026 adalah kesinambungan kepada kempen “Booster Minda: Serlahkan Potensi Anak Anda,” iaitu inisiatif Eskayvie yang lahir daripada kesedaran bahawa setiap anak mempunyai potensi tersendiri untuk berjaya dan potensi tersebut perlu dibimbing, dipupuk dan disokong secara konsisten setiap hari.
Ia turut menampilkan dua kategori pengiktirafan utama, iaitu Pelajar Semua A dan Peningkatan Cemerlang bagi meraikan bukan sahaja keputusan tertinggi, malah perjalanan peningkatan luar biasa yang ditunjukkan oleh para pelajar.
Selain itu, Kartika menambah, pelaburan paling bijak yang boleh dilakukan oleh ibu bapa hari ini bukan hanya tertumpu kepada pendidikan formal, tetapi kepada asas yang membantu perkembangan minda anak secara optimum setiap hari.

Jelas beliau, Eskayvie percaya bahawa nutrisi minda yang konsisten adalah asas yang paling utama kepada bagaimana anak belajar, berfikir dan membina keyakinan diri.
“Sokongan ini kemudiannya diperkukuh melalui aspek lain seperti emosi, spiritual, persekitaran pembelajaran yang kondusif, pemakanan seimbang dan sokongan berterusan dari rumah, yang bersama-sama penting dalam menyokong perkembangan kognitif anak-anak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan & Inovasi, Pengarah Eksekutif Eskayvie, Dr Syid Ayob Syid Mustafa Al-Qudri berkata, kejayaan anak hari ini memerlukan asas yang lebih lengkap.
“Kita perlu ubah cara melihat kejayaan dan ia bukan hanya tentang pembelajaran di sekolah atau di pusat tuisyen tetapi juga menyediakan asas yang lengkap iaitu nutrisi yang tepat, emosi yang stabil, persekitaran yang menyokong dan rutin yang konsisten,” jelas beliau.
Menurut beliau, semakin ramai anak hari ini berdepan cabaran seperti mudah letih, cepat hilang motivasi dan sukar memberi tumpuan kepada pembelajaran, yang kadangkala disalah tafsir sebagai kurang usaha, sedangkan ia mungkin berpunca daripada otak yang tidak mendapat sokongan nutrisi minda yang optimum. -KOSMO! ONLINE














