PETALING JAYA – Seorang lelaki warga asing berusia sekitar 19 tahun diberkas pasukan Polis Bantuan Prasarana selepas disyaki terlibat dalam kes gangguan seksual di dalam tren, baru-baru ini.
Rapid Rail Sdn. Bhd. dalam satu kenyataan berkata, tangkapan dibuat susulan laporan saksi pada 8 April lalu yang mendakwa suspek mengganggu seorang penumpang wanita di dalam tren Laluan Kelana Jaya.
Menurutnya, siasatan awal turut mendapati suspek dipercayai terlibat dalam satu lagi kejadian gangguan seksual di Stesen Kuchai, Laluan Putrajaya.
“Tindakan pantas pasukan Polis Bantuan Prasarana berjaya mengesan dan menahan suspek dalam tempoh kurang 24 jam,” katanya di sini hari ini.
Suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Sri Petaling untuk tindakan lanjut, manakala Rapid Rail memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, Rapid Rail menegaskan komitmennya dalam memastikan keselamatan pengguna sentiasa terjamin selain menyeru orang ramai agar segera melaporkan sebarang kejadian kepada petugas stesen atau anggota Polis Bantuan Prasarana. – KOSMO! ONLINE














