PADANG BESAR – Kegusaran penduduk mengenai kehadiran gerombolan warga India di Changlun dan Jitra, Kedah kini dalam pemantauan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau telah menerima taklimat berhubung kebimbangan yang disuarakan penduduk di kawasan tersebut.
“Perkara ini dalam perhatian KDN dan saya telah diberikan taklimat awal mengenai kegusaran yang dibangkitkan oleh penduduk setempat. Kita akan melihat isu ini secara menyeluruh termasuk dari sudut pematuhan undang-undang dan kawalan sempadan,” katanya ketika ditanya pemberita mengenai situasi tersebut.
Kosmo! sebelum ini melaporkan penduduk dan peniaga di Changlun mendakwa ramai warga India kini menjadikan pekan itu sebagai tempat transit sebaik melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara, sebelum menaiki bas ke Kuala Lumpur atau Johor Bahru.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution , pihak berkuasa mengenal pasti beberapa laluan tidak diwartakan yang digunakan untuk kemasukan warga asing dan tindakan segera telah diambil untuk menutup laluan tersebut. – KOSMO! ONLINE














