ISLAMABAD – Iran dan Amerika Syarikat (AS) dijadualkan mengadakan rundingan damai di Pakistan hari ini dengan Tehran dan Washington jauh berbeza mengenai tuntutan utama dan tidak mempercayai antara satu sama lain.
Delegasi Iran yang terdiri daripada lebih 70 individu dan diketuai Speaker Parlimen Mohammad Bagher Ghalibaf tiba dahulu di Islamabad, di mana kawalan keselamatan adalah ketat.
“Kami mempunyai niat baik tetapi kami tidak percaya(pada AS),” Ghalibaf dipetik sebagai berkata oleh stesen televisyen Iran semasa tiba di ibu negara Pakistan hari ini.
“Pengalaman kami berunding dengan Amerika sentiasa menemui kegagalan dan janji yang dimungkiri,” tambahnya.
Naib Presiden JD Vance yang mengetuai delegasi AS juga berhati-hati dalam komennya kepada pemberita sebelum berlepas dari Washington.
“Sekiranya Iran bersedia untuk berunding dengan niat baik, kami pastinya bersedia untuk menghulurkan tangan,” kata Vance.
“Namun, jika mereka cuba mempermainkan kami, maka mereka akan mendapati pasukan perunding kami bukanlah begitu terbuka,” kata Vance.
Iran sebelum ini menegaskan bahawa gencatan senjata di Lubnan dan pembatalan pembekuan aset Tehran sebagai syarat untuk rundingan Islamabad diteruskan, namun kedua-duanya belum menjadi kenyataan.
Presiden Donald Trump pula menuntut pembukaan semula Selat Hormuz sebagai syarat untuk gencatan senjata dua minggu yang membawa kepada rundingan tersebut. – AFP














