fbpx

‘Buat alas perut, seharian saya teguk air paip saja’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ZUL Huzaimy, sepotong nama yang mekar dalam industri hiburan tempatan. Selama lebih dua dekad, namanya terus bertahan sebagai anak seni versatil.

Bukan hanya berlakon, pemilik nama lengkap Zul Huzaimy Marzuki, 48, turut bergelar pengarah dan penerbit. Dia bahkan boleh pengacara, bermain muzik, menyanyi dan menulis skrip.

Mengakui perjalanan kerjayanya mempunyai fasa turun naik, alumni Akademi Seni Kebangsaan (ASK) kini Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu sentiasa percaya rezeki setiap insan sudah ditentukan Tuhan.

Bukan sendu

Baginya, jarang menghiasi televisyen bukan kerana sendu, sebaliknya sentiasa ‘upgrade’ diri untuk menjadi lebih baik, sekali gus diterima ramai terutama penonton drama dan kaki wayang.

“Sampai sekarang saya masih dipanggil berlakon. Macam hari ini, saya terbabit dengan drama terbitan A Aida Productions.

“Selain berlakon dan mengarah ada juga sedikit bisnes. Sebagai ketua keluarga, kita kena rajin cari peluang,” katanya ketika ditemui di set penggambaran Bayang Tanpa Peluk, baru-baru ini.

Tidak pernah menyesal terjun ke arena hiburan, imbas bapa kepada tiga anak itu, laluan yang ditempuhinya juga agak mencabar, namun dia nekad menggenggam impian sejak kecil.

ZUL Huzaimy sedia kembali menjadi pengajar di Aswara berkongsi ilmu dan pengalaman dengan pelajar jurusan seni zaman ini. — FARIZ RUSADIO

“Waktu sekolah rendah ada shooting kat kampung saya. Ada ramai pelakon hebat termasuk Eman Manan. Makin menebal cita-cita saya. Di sekolah pun masa cikgu tanya, saya cakap nak jadi pengarah, pelakon.

“Ketika era membesar belum ada pelakon dari Gerik, Perak. Kampung saya banyak sekolah pondok, mungkin nampak pelik bila saya cakap nak jadi pelakon dan pengarah, tapi saya pasang juga angan-angan itu,” katanya.

Seterusnya minat mendalam terhadap muzik dan lakonan bermula dengan teater bahasa Inggeris pada usia 10 tahun membawa anak jati Gerik, Perak itu ke Kuala Lumpur untuk bergelar mahasiswa ASK pada tahun 1997.

Akuinya, walaupun bapanya memberikan lampu hijau tetapi insan dihormatinya itu seakan-akan kurang gembira dengan pilihan mengambil jurusan seni persembahan  mahupun bergelar pelakon.

“Siapa tak seronok dapat masuk ASK yang sekarang ini Aswara, tambah-tambah dapat jurusan yang saya minat iaitu muzik.

“Waktu nak ke Kuala Lumpur, bapa hantar saya ke stesen bas. Biarpun tak melarang saya pergi, saya tahu dia berat hati nak lepaskan saya. Berangkatlah saya ke Kuala Lumpur dengan hati tertanya-tanya. 

“Bapa sebenarnya cikgu muzik, cuma mungkin dia nak saya jadi pemain bola sepak. Waktu itu saya aktif bersukan. Tidak mengapa, orang tua mana tak risau. Saya nak buktikan saya boleh berjaya,” kongsinya.

Realiti getir

Cerita pendukung watak Spark menerusi Remp-It itu, selepas seminggu  sesi orientasi, barulah dia dimaklumkan tidak mendapat kemudahan tempat tinggal atau hostel.

“Itulah realiti getir yang saya lalui. Terpinga-pinga juga sekejap. Terfikir juga mana nak tidur malam. Nak tumpang rumah siapa? Takkan nak susahkan mak bapak. Memang saya tak bagi tahu pun.

“Duit dalam poket pula boleh dikira tinggal berapa ringgit. Wang dibekalkan bapa sebelum itu sudah bayar untuk yuran pengajian. 

“Hari itu seharian saya teguk sahaja air paip buat alas perut sambil otak berfikir. Ikat perut sebab nak belajar terus di ASK. Mujur ada ramai rakan senasib, kami cari solusi bersama-sama,” katanya mengenang kisah silam.

Begitupun, katanya pengalaman tersebut mematangkan diri, sekali gus membuatkan jiwanya kental semakin kental berdepan realiti dunia seni.

BERMULA sebagai anak teater, Zul Huzaimy kini antara aktor hebat negara yang terus relevan bukan sahaja sebagai pemeran watak bahkan pengarah dan penulis skrip.

Perjalanan sebenar untuk mengejar impian pula bermula selepas menamatkan pengajian di ASK yang juga tidak semudah disangkakan, namun mengenali ramai anak seni  hebat membuka ruang lebih luas untuknya berkarya.

“Ketika belajar dahulu ramai penggiat seni tersohor datang berkongsi pengalaman. Antaranya U-Wei, Puan Seri Tiara Jacquelina saksikan pementasan teater kami.

“Ramai pelakon hebat beri semangat. Walaupun susah nak cari tapak lepas habis belajar sampai perlu menumpang kawan-kawan, no turning back.

“Individu hebat ini juga yang banyak membantu, mereka panggil bekerja dan kini saya di sini. Saya sangat hargai peluang diberikan dan kerana itu saya bersedia untuk kembali ke Aswara berkongsi pengalaman seperti senior saya,” tambahnya.

Kini, Zul Huzaimy membuktikan impian datang dengan kesungguhan apabila meraih pelbagai pengiktirafan termasuk di Festival Filem Malaysia ke-21 sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Wayang.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN