PETALING JAYA – Kejayaan dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Saban, Gerik meraih 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mencuri tumpuan dalam program turun padang di Parlimen Gerik, Perak, semalam.
Program tersebut disertai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang menyantuni masyarakat setempat.
Dua pelajar terbabit, Nur I’llmi Fasihah Azman dan Nur Farah Athirah, turut diziarahi sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian cemerlang mereka.
Menurut Asyraf Wajdi, kejayaan itu membuktikan pelajar luar bandar mampu mencipta kecemerlangan setanding rakan di kawasan bandar.
“Pencapaian ini bukan sahaja membanggakan keluarga dan sekolah, malah menjadi inspirasi kepada generasi muda di kawasan ini untuk terus berusaha mencapai kejayaan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Sementara tu, beliau turut menghadiri majlis penyampaian insentif kecemerlangan kepada 257 pelajar SPM Parlimen Gerik yang memperoleh keputusan 5A ke atas di Maktab Rendah Sains Mara, Gerik.
“Pencapaian anak-anak Hulu Perak menunjukkan peningkatan yang amat membanggakan tahun ini,” ujarnya.
Terdahulu, Asyraf Wajdi mengadakan ziarah kasih ke rumah beberapa penduduk uzur di sekitar Taman Aman, Taman Damai, Pekan Kroh dan Taman Kroh Indah sebagai sebahagian usaha mendekati masyarakat setempat.
Beliau turut berkesempatan makan tengah hari bersama penduduk di Kampung Selarong sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Aula. – KOSMO! ONLINE














