fbpx
Tambang feri bagi pengguna tanpa MyKad naik RM10 pada 15 April depan. - Gambar hiasan

Tambang feri Langkawi naik RM10 bermula 15 April

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LANGKAWI – Tambang feri Langkawi bagi penumpang tanpa MyKad mengalami kenaikan sebanyak RM10 berkuat kuasa pada 15 April ini susulan peningkatan kos industri yang ketara dan berterusan.

Susulan itu, tambang baharu untuk kumpulan tersebut adalah RM45 bagi dewasa dan RM35 (kanak-kanak) untuk perjalanan sehala dari Terminal Feri Kuala Perlis.

Bagi laluan dari Terminal Feri Kuala Kedah, tambang yang ditetapkan adalah RM55 (dewasa) dan RM42 (kanak-kanak) bagi perjalanan sehala.

Pengurus Besar Langkawi Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Tc. Dr. Baharin Baharom berkata, keputusan itu bukan pilihan, sebaliknya langkah operasi yang perlu diambil kira susulan peningkatan kos industri yang meningkat secara berterusan dan ketara sehingga tidak mampu lagi diserap oleh pengendali feri.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, industri feri berdepan kenaikan kos yang signifikan, khususnya harga bahan api industri, penyelenggaraan, tenaga kerja serta keperluan pematuhan peraturan.

“Kenaikan berlaku sedangkan tambang feri di Langkawi kekal pada kadar yang tidak mencerminkan kos operasi sebenar. Operasi tidak lagi berdaya maju sekiranya keadaan ini berterusan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, tanpa pelarasan itu, industri berisiko berdepan pengurangan perkhidmatan, gangguan operasi serta cabaran kelestarian jangka panjang yang akhirnya akan menjejaskan pengguna.

“Perlu ditegaskan bahawa pelarasan ini tidak melibatkan warga Malaysia yang memiliki MyKad. Ia wajar bagi penumpang tanpa MyKad lebih-lebih lagi tambang feri Langkawi jauh lebih rendah berbanding laluan pulau lain di Malaysia,” ujarnya.

Sebagai perbandingan, katanya, tambang feri ke Pulau Tioman adalah RM85 walaupun meliputi jarak nautika yang hampir sama.

“Ini jelas menunjukkan bahawa walaupun selepas pelarasan, tambang feri Langkawi masih berada di bawah paras pasaran semasa. Pihak pengurusan ingin menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap kesinambungan operasi dan standard keselamatan.

“Pelarasan ini merupakan langkah minimum yang diperlukan bagi memastikan perkhidmatan feri terus beroperasi secara selamat, boleh dipercayai dan mampan,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak berkepentingan agar melihat pelarasan itu secara rasional serta menyokong usaha memastikan daya tahan jangka panjang industri feri Langkawi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN