PUTRAJAYA- Kira-kira satu daripada lima rakyat Malaysia atau 21.5 peratus dikesan mengalami masalah pendengaran, sekali gus mencerminkan keperluan mendesak terhadap kesedaran dan langkah pencegahan secara menyeluruh.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, berdasarkan National Otorhinolaryngology Registry, hampir 44,000 kes telah dilaporkan sehingga tahun 2025, dengan beban tertinggi dikesan dalam kalangan dewasa dan warga emas iaitu sebanyak 86.4 peratus.
“Selain faktor genetik dan jangkitan, kita tidak boleh menutup mata terhadap ancaman Noise-Induced Hearing Loss (NIHL) atau hilang pendengaran akibat bunyi bising.
“Statistik global menunjukkan hampir satu bilion belia berisiko mengalami kehilangan pendengaran akibat amalan mendengar muzik terlalu kuat menggunakan fon kepala atau ‘earbuds’ dalam tempoh yang lama,” katanya ketika berucap sempena Sambutan Hari Pendengaran Sedunia 2026 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Hari Pendengaran Sedunia disambut pada 3 Mac setiap tahun. Tarikh itu dipilih secara simbolik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana angka 3.3 menyerupai bentuk dua telinga manusia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, data Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) turut menunjukkan NIHL merupakan penyakit pekerjaan tertinggi dilaporkan di Malaysia.
“Di hospital-hospital termasuk Hospital Kuala Lumpur (HKL), pakar-pakar Otorinolaringologi (ORL) dan audiologi sering menerima pesakit yang sudah berada di peringkat kronik akibat pendedahan kepada bunyi bising industri.
“Saya menyeru para majikan agar memperkasakan Program Pemuliharaan Pendengaran (HCP) serta mematuhi Peraturan Pendedahan Bising 2019,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menasihati para pekerja dan orang ramai agar lebih peka terhadap penjagaan kesihatan pendengaran.
“Sehingga Februari 2026, seramai 50,413 individu berdaftar sebagai orang kurang upaya (OKU) pendengaran. Kepada para pesakit dan pekerja yang hadir, ketahuilah hak anda. Kerosakan saraf pendengaran akibat bising industri adalah kekal, namun ia 100 peratus boleh dicegah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














