fbpx
Dua lelaki ditahan semasa membawa rokok seludup di dalam dua buah MPV di Pasir Puteh semalam. FOTO IHSAN PGA

‘Runner’ dicekup, tak sempat hantar rokok seludup ke Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR PUTEH – Dua lelaki berperanan sebagai ‘runner’ yang menerima upah sebanyak RM200 bagi setiap penghantaran dicekup di tepi jalan dari arah Pasir Puteh menghala ke Gong Kelih di sini semalam ketika mahu menghantar 26 kotak besar berisi rokok seludup ke Terengganu.

Kedua-dua lelaki yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dan Proton Exora itu ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) semasa menjalankan operasi menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, bertindak atas maklumat pengedaran rokok seludup, anggota PGA mengesan sebelum menahan kedua-dua buah MPV tersebut.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam kenderaan itu membawa kepada penemuan sebanyak 26 kotak besar berisi 260,000 batang rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM508,000.

“Siasatan awal mendapati, rokok tersebut diperoleh daripada pembekal tertentu di Kota Bharu sebelum diedarkan ke Terengganu mengikut permintaan pasaran.

“Kedua-dua pemandu MPV itu yang dipercayai berperanan sebagai ‘runner’ menerima bayara sebanyak RM200 setiap penghantaran yang menggunakan kenderaan persendirian bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Ahmad Radzi memberitahu, pemeriksaan lanjut di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh mengesahkan bahawa kesemua rokok tersebut tidak bercukai dan telah dibawa untuk tujuan pengedaran.

Beliau berkata, kesemua rokok seludup itu dirampas dan kedua-dua pemandu MPV disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN