BANGKOK – Seorang bekas penjawat awam ditahan selepas 22 pendatang tanpa izin (PATI) warga Bangladesh dan Myanmar ditemukan bersembunyi di resort miliknya, menunggu untuk dihantar ke Malaysia, lapor akhbar Bangkok Post.
Pegawai imigresen dan polis menyerbu resort di Na Thab, daerah Chana dalam wilayah Songkhla, Selatan Thai pada pukul 4.30 petang (waktu tempatan) kelmarin selepas menerima maklumat mengenai penempatan PATI di premis itu.
Walaupun resort itu ditutup, pihak berkuasa mendengar perbualan dalam bahasa asing dari sebuah bangunan terbiar dalam kawasannya.
“Selepas menanggalkan kanvas menutup pintu masuk, anggota-anggota kami menemukan laluan sempit menuju ke sebuah bilik gelap di mana 22 warga asing sedang duduk dalam keadaan berhimpit,” kata seorang jurucakap.
Kumpulan PATI itu terdiri daripada 21 lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita Myanmar dengan mereka berumur antara 20 hingga 46 tahun.
Selepas dibawa keluar, kumpulan itu menuntut telefon bimbit mereka dikembalikan. Semua peranti itu didakwa dirampas dan disimpan oleh pemilik resort dikenali sebagai Kritidet, 66, yang menafikan sebarang penglibatan.
Pemeriksaan lanjut bilik Kritidet bagaimanapun menemukan 16 telefon bimbit milik kumpulan imigran itu yang disembunyikan di dalam dua kotak kecil di bawah katil. Pakaian seragam pegawai kerajaan turut ditemui tergantung pada dinding.
Kritidet berkata, dia baru pulang ke resort miliknya dan tidak mengetahui kehadiran PATI tersebut.
“Semua telefon itu mungkin ditinggalkan di dalam bilik saya yang tidak berkunci oleh pemandu yang mengangkut mereka sebelum dia melarikan diri,” kata Kritidet semasa soal siasat.
Semua suspek dibawa ke Pejabat Imigresen Songkhla untuk disoal siasat.
Kumpulan PATI itu memberitahu pihak berkuasa melalui jurubahasa bahawa mereka telah membayar sebanyak 700,000 taka (RM22,640) setiap seorang untuk masuk ke Malaysia.
Kritidet turut ditahan atas dakwaan melindungi dan membantu imigran haram mengelak daripada ditangkap. – AGENSI














