PETALING JAYA – Malaysia kini berada pada titik penting untuk beralih daripada pembangunan Bandar Pintar kepada pendekatan lebih strategik menerusi pembangunan Bandar AI sebagai asas kepada aspirasi negara menjadi sebuah Negara AI.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peralihan tersebut bukan sekadar melibatkan penerapan teknologi baharu, sebaliknya memerlukan transformasi menyeluruh dalam cara bandar dirancang, ditadbir dan diurus.
“Peralihan ini bukan sekadar penerapan teknologi baharu, tetapi menuntut transformasi menyeluruh dalam cara kita merancang, mentadbir dan mengurus bandar agar lebih cekap, berdaya tahan serta berpaksikan data,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Anwar berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi meneliti dan menyelaraskan pelaksanaan model Bandar AI untuk Malaysia.
Katanya, kejayaan pembangunan Bandar AI memerlukan ekosistem yang kukuh merangkumi tadbir urus AI dan data yang selamat, infrastruktur digital berkapasiti tinggi, pembangunan bakat tempatan serta kerangka dasar dan perundangan yang menyokong inovasi secara bertanggungjawab.
Beliau berkata, semua elemen itu perlu digembleng secara bersepadu agar pelaksanaan model berkenaan dapat dibuat secara berkesan.
Dalam pada itu, mesyuarat tersebut turut bersetuju agar Kementerian Digital bertindak sebagai penyelaras utama dengan kerjasama rapat kementerian serta agensi berkaitan.
Jelasnya, kerajaan akan terus memperkukuh sinergi antara semua pihak bagi memastikan pelaksanaan inisiatif tersebut memberi impak tinggi kepada rakyat. – KOSMO! ONLINE














