LUMUT – Aktiviti penyelewengan diesel di Manjung berjaya ditumpaskan apabila 5,070 liter bahan api berkenaan disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak di Kampung Raja Hitam, Ayer Tawar di Sitiawan dekat sini semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kejayaan itu susulan daripada satu operasi bersepadu yang dilaksanakan pihaknya dari Cawangan Manjung bersama Pasukan Polis Marin pada pukul 12.30 tengah malam.
Beliau berkata, operasi tersebut berjaya mematahkan aktiviti penyelewengan barang kawalan minyak diesel di sebuah premis perniagaan kayu dan perkakasan di kampung berkenaan.
“Hasil risikan mendapati premis tersebut dijadikan lokasi transit pengumpulan minyak diesel secara tidak sah.
“Semasa serbuan, seorang lelaki tempatan dikesan sedang memindahkan cecair disyaki minyak diesel dari sebuah lori tiga tan ke dalam tangki Intermediate Bulk Container (IBC),” katanya di sini hari ini.
Kamalludin berkata, hasil pemeriksaan mendapati lori tersebut telah diubah suai dengan pemasangan tangki fiber tambahan di bahagian belakang.
Katanya, terdapat lapan unit invois belian menunjukkan suspek melakukan pembelian berulang di stesen minyak yang sama di Sitiawan bagi mengumpul stok dalam kuantiti besar.
“Bekalan dikumpul di stor sebelum dijual semula kepada pasaran industri.
“Sehubungan dengan itu, satu tindakan kes telah diambil dengan menyita cecair disyaki minyak diesel sebanyak 5,070 liter, sebuah lori tiga tan, satu Skid Tank, dua tangki IBC, dua unit pam elektrik, satu tangki fiber, dan empat unit hos,” katanya.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM56,371.40.
“Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan – Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya. – KOSMO! ONLINE














