SUNGAI BULOH – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun berdepan detik cemas apabila kakinya tersepit di dalam salur paip di bilik air sebuah pangsapuri di Bandar Sri Damansara di sini, hari ini.
Menurut kenyataan Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, sepasukan anggotanya bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.13 tengah hari.
“Jentera tiba di lokasi pada pukul 12.23 tengah hari, kira-kira sembilan kilometer dari balai. Komander operasi membuat ‘size up’ didapati kaki mangsa tersepit dalam salur paip dalam bilik air.
“Pihak bomba telah memotong paip tersebut menggunakan peralatan khas dan berjaya mengeluarkan kaki kanak-kanak tersebut,” jelas kenyataan itu.
Operasi menyelamat yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Fahizal Othman itu melibatkan lima anggota bersama sebuah jentera.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
“Operasi selesai pukul 2.57 petang. Jentera bersama anggota bertolak balik ke balai,” katanya. – KOSMO! ONLINE














