fbpx
Sebahagian PATI warga Myanmar yang ditahan semasa menaiki tujuh buah kenderaan di susur keluar Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai di Buloh Poh dekat Kota Bharu kelmarin. FOTO IHSAN PGA

Bayar RM5,000 tak sempat kerja di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Hajat seramai 52 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar untuk bekerja dalam pelbagai sektor di negara ini tidak kesampaian selepas tujuh kenderaan dipandu tekong darat yang membawa kesemua migran itu ditahan di susur keluar Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai di Buloh Poh, Melor dekat sini kelmarin.

Ketujuh-tujuh kenderaan melibatkan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) dan lima kenderaan utiliti sukan (SUV) itu disekat Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Op Taring Wawasan yang menumpukan kawasan Ketereh sebagai lokasi sasaran utama aktiviti penyeludupan migran.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, dua buah MPV jenis Perodua Alza dan Toyota Veloz, tiga buah SUV Perodua Aruz dan masing-masing sebuah SUV Proton X70 selain Toyota Corolla Cross ditahan di kawasan tersebut selepas mendapati ia dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati, tujuh pemandu kenderaan itu membawa seramai 52 PATI warga Myanmar termasuk 15 orang wanita.

“Seramai 17 warga asing itu memiliki pasport, namun tidak mempunyai cop kemasukan sah ke negara ini manakala selebihnya tiada sebarang dokumen perjalanan.

“Kesemua PATI itu dipercayai dibawa secara haram dari Myanmar ke Thailand sebelum masuk ke negara ini menggunakan bot dan dihantar menggunakan kenderaan ke lokasi tertentu,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Ahmad Radzi memberitahu, siasatan awal mendapati, sindiket tersebut dikendalikan oleh individu warga Myanmar yang beroperasi dari dalam negara ini.

Katanya, sindiket itu dipercayai menggunakan aplikasi komunikasi bagi mengatur pergerakan kesemua PATI termasuk bayaran tertentu.

“Setiap PATI dikenakan bayaran sebanyak RM5,000 dan dijanjikan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor di negara ini.

“Tujuh buah kenderaan yang digunakan dalam kegiatan tersebut dan beberapa unit telefon bimbit dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM436,400 turut dirampas,” ujarnya.

Beliau berkata, kesemua PATI itu bersama tujuh pemandu kenderaan ditahan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.

Berdasarkan rekod tangkapan migran pada bulan ini, seramai 20 PATI warga Myanmar termasuk enam wanita dicekup semasa bersembunyi di dalam sebuah rumah transit di Chabang Empat dekat Tumpat pada Sabtu lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN