PETALING JAYA – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) mengesahkan menerima maklumat awal berhubung penampakan objek disyaki serpihan angkasa di ruang udara Sarawak pada 7 April lalu.
Menurut Mosti, setakat ini tiada sebarang laporan rasmi diterima mengenai penemuan serpihan tersebut sama ada di darat mahupun di perairan.
Katanya, berdasarkan penelitian awal terhadap video tular, objek berkenaan dipercayai berkemungkinan sebahagian daripada serpihan objek angkasa (space debris), namun pengesahan lanjut masih dalam siasatan.
“Pemantauan sedang dijalankan secara aktif oleh Bahagian Penguasa Angkasa (BPAngkasa) dengan kerjasama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan supaya tidak menyentuh sebarang objek mencurigakan dan segera melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi BPAngkasa di talian 03-8885 8685 atau emel [email protected] KOSMO! ONLINE














