PETALING JAYA – Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya didakwa mengalami gangguan operasi hampir setiap hari, sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai yang mahu ke tempat kerja pagi tadi.
Menerusi hantaran di Threads oleh Sairahatiqah, dia tidak berpuas hati apabila jadual perjalanannya terganggu ketika waktu puncak orang ramai menuju ke tempat kerja.
“Satu hari, satu lagi masalah. Kalau tak petang, dia menguji di pagi hari.
“Lagi dua stesen nak sampai pejabat,” katanya.
Rata-rata pengguna turut meluahkan rasa geram terhadap halangan yang dihadapi ketika menaiki LRT.
Pengguna Threads, Ddellisyaa_ berkata, tren yang dinaikinya menghala ke LRT Kerinchi telah melakukan brek kecemasan secara tiba-tiba hingga menyebabkan ramai penumpang terjatuh.
“LRT tiba-tiba berhenti mengejut di Kerinchi. Ramai yang jatuh, sumpah terkejut ye,” ujarnya.
“Ada saja anginnya dengan LRT ini, pintu tersekat tak boleh buka pula,” komen pengguna Threads Aaisyaaziz pula.
Ada juga pengguna yang turut berseloroh mengatakan gangguan di Laluan Kelana Jaya ini jika dijadikan vlog, jumlah episodnya mungkin sudah mencecah 100 bagi tahun ini.
Difahamkan, LRT laluan Kelana Jaya kerap mengalami gangguan sejak Ramadan lalu dan masalah ini berlaku hampir setiap hari ketika waktu puncak. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














