fbpx
USIA meningkat, Remy berasa sudah mual untuk melakonkan watak romantik yang keasyikan cinta.

‘Saya dah ada uban, takkanlah nak cintan-cintun lagi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GELARAN Hero Malaya sudah sebati dengan pelakon terkenal Datuk Remy Ishak sejak lebih sedekad lalu. Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak merupakan aktor yang mendapat julukan itu selepas Datuk Rosyam Nor yang memegang takhta tersebut selama beberapa tahun.

Bakatnya sering dijulang di posisi hero baik dalam layar lebar mahupun kaca televisyen.

Tahun ini, usia pelakon kelahiran Melaka itu mencecah 44 tahun dan seiring kematangan hayat, Remy mula memilih watak yang sesuai dengan karakternya.

“Alhamdulillah banyak tawaran filem yang saya terima sejak kebelakangan ini. Kebanyakannya cerita seram pula tu. Macam sekarang filem Mikael Pemburu Dua Alam sedang ditayangkan. Saya suka naskah ini kerana ada melibatkan babak aksi. Sudah lama saya tidak terlibat dengan filem aksi.

“Sebenarnya sebelum saya mulakan penggambaran filem ini, lama juga saya berehat daripada berlakon kerana saya tak jumpa skrip yang berkenan di hati.

“Ketika itu saya tengok ramai pelakon terlibat dengan filem aksi. Saya tertanya-tanya kenapa saya tak dapat tawaran sebegitu. Adakah orang tak nampak kebolehan saya boleh berlakon filem aksi.

“Jadi bila Zahir Omar tawarkan filem Mikael Pemburu Dua Alam ini, saya tertarik dengan jalan ceritanya yang lain daripada yang lain dan terus bersetuju,” katanya.

Tambah pemenang trofi Pelakon Filem Lelaki Terbaik Anugerah Skrin ke-15 itu, pengalamannya melalui ujian disihir beberapa tahun lalu turut mendorong keputusannya terlibat dengan naskah bergenre seram.

“Saya pernah lalui fasa depresi. Sebenarnya itu adalah gangguan-gangguan yang saya alami. Jadi saya rasa cerita seperti ini dekat dengan saya dan berkaitan dengan apa yang saya pernah lalui sebelum ini.

“Alhamdulillah kini saya sudah tidak alami sebarang gangguan. Ketika penggambaran pun tiada sebarang gangguan.
“Cuma cuaca agak panas dan saya kena strok haba sampai kena tahan di hospital,” kongsinya.

Drama

Ditanya tentang projek drama televisyen, kata Remy dia enggan lagi membawa watak klise seperti kebanyakan watak hero drama di Malaysia

“Sudah berbelas tahun saya jadi pelakon. Kalau asyik bawa watak lelaki romantik, penjaga itulah inilah, saya rasa macam tak ada kelainan dalam karier saya.

“Saya pun dah ada ada uban sikit-sikit. Takkanlah nak berlakon drama cintan-cintun lagi. Saya dah tak boleh. Saya dah tak percaya dengan dialog-dialog dalam drama sebegitu. Sebagai pelakon kita kena percaya kepada dialog. Bila sebut dialog yang sama 100 kali, saya dah tak percaya.

“Jadi buat masa sekarang, saya rasa lebih baik saya rileks dulu daripada berlakon drama. Melainkan kalau ada tawaran drama berkisarkan kekeluargaan yang saya rasa sesuai dengan umur saya ketika ini dan status saya sebagai seorang bapa mungkin saya terima.

“Kalau nak saya jadi budak kolej, baru nak melafazkan ayat-ayat cinta, lebih baik tawarkan kepada pelakon-pelakon lain yang jauh lebih muda dan sesuai dengan mereka,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN