fbpx
Gambar hiasan - JANAAN AI

Masih ada calon mentua hanya nak menantu kerja ‘gomen’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Di sebalik perubahan zaman dan perkembangan kerjaya, masih wujud segelintir ibu bapa yang meletakkan syarat memilih menantu hanya dalam kalangan penjawat awam.

Perkara itu kembali menjadi perbualan hangat dalam kalangan pengguna media sosial apabila ramai berkongsi pengalaman berdepan situasi sama ketika menjalinkan hubungan serius sehingga ke fasa perkahwinan.

Seorang pengguna Facebook mendedahkan hubungannya hampir terputus apabila keluarga pihak perempuan tidak merestui kerana dia bekerja di sektor swasta walaupun mempunyai pendapatan stabil.

“Bukan tak cukup duit, tapi sebab bukan kerja kerajaan, terus tak dipandang. Sedih juga sebab dinilai hanya pada status kerja,” katanya.

Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati, persepsi bahawa kerja kerajaan lebih terjamin dari segi pencen, kestabilan dan faedah masih kuat dalam kalangan generasi lama.

Seorang lagi pengguna berkongsi, ibunya sendiri pernah menetapkan syarat agar bakal suami mesti bekerja sebagai penjawat awam sebelum akhirnya berubah fikiran selepas melihat kesungguhan dan kestabilan kewangan pasangannya.

“Dulu mak memang nak menantu kerja ‘gomen’ sebab katanya senang masa tua nanti. Tapi sekarang dia dah faham, kerja swasta pun boleh berjaya,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pengguna Threads @AyuniIshak berpendapat, mentaliti tersebut wujud kerana faktor keselamatan kewangan jangka panjang yang sering dikaitkan dengan sektor awam, terutama melibatkan pencen dan kemudahan perubatan.

Katanya, landskap pekerjaan masa kini telah berubah dengan ketara dan banyak peluang dalam sektor swasta, keusahawanan serta ekonomi gig mampu menawarkan pendapatan lebih tinggi dan fleksibiliti kerja.

“Pemilihan pasangan hidup sepatutnya tidak hanya bergantung kepada jenis pekerjaan semata-mata, sebaliknya perlu melihat aspek tanggungjawab, kestabilan emosi dan kemampuan mengurus kehidupan bersama,” jelasnya.

Perkongsian wanita itu turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya berpendapat bahawa kriteria memilih menantu perlu lebih terbuka dan mengikut realiti semasa.

“Zaman sekarang bukan kerja ‘gomen’ sahaja yang boleh jamin masa depan. Yang penting rajin dan pandai urus kewangan,” kata @Noreenzz.

“Bukan sektor kerajaan sekarang dah tak ada pencen ka? Menjamin lagi ka?,” soal pengguna lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN