fbpx
Nik Rosmawati (tengah) menunjukkan lif yang sudah lama tidak berfungsi di Bazar Buluh Kubu, Kota Bharu hari ini. Foto oleh ROSLIZA MOHAMED / KOSMO!

Bazar Buluh Kubu dinaik taraf, 150 peniaga pindah ke tempat baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Hampir 150 peniaga batik dan kraf di Bazar Buluh Kubu di sini akan berpindah ke tempat baharu selama tiga tahun untuk menjalankan perniagaan sementara menunggu proses naik taraf bangunan tersebut pada tahun ini.

Presiden Persatuan Batik dan Kraf Bazar Buluh Kubu, Datin Nik Rosmawati Nik Yusoff berkata, kebanyakan peniaga yang sudah berniaga di bazar berkenaan antara tempoh 20 hingga 40 tahun akan berpindah ke sebuah bangunan pasar raya yang tidak beroperasi di bandar ini.

Katanya, setakat ini, kerja pengubah suaian melibatkan lot kedai dalam bangunan tersebut sedang dilakukan termasuk kos lain yang perlu ditanggung peniaga sendiri.
“Justeru, kita berharap sangat Kerajaan Persekutuan dan negeri turut membantu bagi mengurangkan beban peniaga.

“Kos sewa di tempat baharu juga meningkat kerana berada di dalam bangunan yang mempunyai pendingin hawa. Keadaan itu menyebabkan ada dalam peniaga memilih untuk menyewa di tempat lain,” katanya pada sidang akhbar di Bazar Buluh Kubu di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Rosmawati memberitahu, pihaknya berharap pelanggan tetap setia mengunjungi lokasi baharu peniaga Bazar Buluh Kubur kerana batik dan kraf tempatan merupakan ikon negeri Kelantan sejak berzaman.

Katanya, bazar tersebut masih dikunjungi orang ramai termasuk pelancong luar yang gemar membeli batik terutama pada musim cuti persekolahan dan cuti tertentu.

Sementara itu, beliau berkata, langkah kerajaan pusat untuk menaik taraf bangunan bazar tersebut adalah wajar kerana bangunan berkenaan sudah lama, selain banyak struktur yang rosak seperti lantai yang pecah, bocor, tiada kemudahan untuk orang kurang upaya, lif yang tidak berfungsi sejak sekian lama dan lain-lain.

Menurutnya, Persatuan Batik dan Kraf Bazar Buluh Kubu sebelum ini banyak menerima aduan mengenai bangunan berkenaan.

“Bazar berkenaan akan dinaik taraf selama tempoh tiga tahun dan siap sepenuhnya pada 2028. Selepas itu, semua peniaga akan dibenarkan berniaga semula di bazar berkenaan.

“Kita akan memaklumkan mengenai premis baharu sementara kepada orang ramai menerusi aplikasi TikTok, Instagram dan media sosial lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN