KANGAR – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melakar detik penting dalam sejarah penjenamaannya apabila melancarkan tagline baharu, UniMAP: Universiti Premier Teknikal sebagai simbol aspirasi ke arah kecemerlangan global.
Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, pelancaran tersebut mencerminkan perkembangan pesat universiti itu sejak penubuhannya.
“Dalam tempoh 25 tahun, UniMAP telah melalui transformasi signifikan, seiring dengan perubahan landskap pendidikan tinggi serta keperluan industri masa kini
“Pelancaran tagline ini adalah seiring dengan sambutan Jubli Perak UniMAP dan ia dilihat sebagai langkah strategik untuk memastikan universiti terus kekal relevan, berimpak, berdaya saing dan mampu menembusi pasaran antarabangsa,” katanya selepas Majlis Anugerah Seri Gemilang (ASG) 2025 di sini.
Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Menurut beliau, tagline baharu itu diyakini mampu memperkukuhkan reputasi akademik dan penyelidikan universiti.
“Usaha ini dijangka menarik lebih ramai pelajar berkualiti dari dalam dan luar negara untuk melanjutkan pengajian di UniMAP
“Dalam masa yang sama, UniMAP juga akan menggunakan pendekatan baharu dalam memperkukuh identiti jenama universiti melalui brand voice yang lebih mesra, jelas dan mudah difahami,” ujarnya.
Tambah beliau, pendekatan itu memberi penekanan terhadap penggunaan bahasa yang dekat di hati masyarakat selain memudahkan pemahaman terhadap agenda pendidikan tinggi berteraskan TVET.
ASG 2025 yang berlangsung selama dua hari bermula semalam turut meraikan 486 penerima pelbagai anugerah sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan dedikasi warga kerja universiti.- KOSMO! ONLINE














