PETALING JAYA – Republik Islam Iran mendakwa ketahanan nasional rakyatnya menjadi faktor utama kegagalan rancangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel untuk menjatuhkan negara itu dalam konflik yang berlarutan sejak lebih sebulan lalu.
Menurut Kedutaan Republik Islam Iran di Malaysia, kejayaan tersebut hasil keberanian pejuang di medan perang serta ketabahan rakyat yang kekal bersatu mempertahankan kedaulatan negara.
“Sepanjang 40 hari lalu, komitmen rakyat Iran dalam mempertahankan kemerdekaan dan identiti nasional telah mencabar tanggapan pihak luar yang menjangkakan kejatuhan pantas negara ini,” menurut kenyataan itu hari ini.
Kenyataan tersebut turut mendakwa tindakan ketenteraan yang dilancarkan terhadap Iran gagal mencapai matlamat, sebaliknya memperlihatkan keupayaan negara itu bertindak balas termasuk melancarkan serangan tepat ke atas pangkalan tentera AS di rantau berkenaan serta wilayah yang didakwa dikuasai Israel.
Menurut Iran, konflik tersebut pada awalnya didorong oleh andaian bahawa pembunuhan pemimpin tertinggi negara itu akan melemahkan sistem pemerintahan, namun perkara itu tidak berlaku susulan keteguhan rakyatnya.
Dalam pada itu, Iran memaklumkan kesediaannya untuk terus mengutamakan pendekatan diplomatik walaupun konflik tercetus ketika rundingan damai yang diusahakan dengan pengantaraan Oman masih berlangsung.
“Kami kekal komited terhadap dialog konstruktif dan percaya penyelesaian melalui rundingan adalah lebih berkesan berbanding konflik ketenteraan,” katanya.
Pada masa sama, Iran turut merakamkan penghargaan terhadap sokongan beberapa pihak antarabangsa termasuk Malaysia.
Menurut kenyataan itu, pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lantang bersuara berhubung isu tersebut disifatkan sebagai berani ketika ramai pemimpin dunia lain memilih untuk berdiam diri.
“Iran menghargai sokongan ini dan percaya hubungan dua hala antara kedua-dua negara akan terus diperkukuh,” jelas kenyataan tersebut.
Tambahnya, ketahanan rakyat Iran membuktikan bahawa kedaulatan negara akan terus dipertahankan selain menyeru semua pihak agar mengutamakan dialog dan menghormati hak setiap negara. – KOSMO! ONLINE














