AUSTIN – Pelumba MotoGP, Alex Rins mengakui berdepan detik paling sukar dalam kariernya apabila hilang keyakinan terhadap jentera Yamaha selepas aksi hambar di Grand Prix (GP) Amerika Syarikat.
Menurutnya, masalah teknikal berterusan sepanjang hujung minggu perlumbaan membuatkan dia mula mempersoalkan peranannya bersama pasukan itu.
“Melihat keempat-empat jentera Yamaha berada di kelompok belakang memang tidak bagus. Saya tidak terkejut sepenuhnya, tetapi saya sendiri tertanya-tanya, ‘kenapa kami semua berada di sini?’,” katanya.
Rins yang menamatkan perlumbaan di kedudukan terakhir mendedahkan jentera M1 miliknya gagal memberikan respons yang konsisten, sekali gus menyukarkannya untuk bersaing.
“Sehingga pusingan kelapan, motosikal langsung tidak memberi tindak balas apabila saya memulas pendikit untuk keluar dari selekoh. Ada ketika ia berfungsi, tetapi pada masa lain masalah itu datang semula,” jelasnya.
Lebih membimbangkan, Rins mengakui prestasi jentera yang tidak menentu itu turut menjejaskan keyakinan dirinya di atas litar.
“Saya rasa seperti tidak berguna di atas jentera dan tertanya-tanya apa sebenarnya yang saya lakukan di sini,” katanya.
Kenyataan tersebut menguatkan lagi gambaran krisis dalaman Yamaha yang ketika ini sedang bergelut untuk membangunkan projek enjin baharu V4 bagi musim 2026.
Malah, rakan sepasukannya, Fabio Quartararo sebelum ini turut mengakui pasukan itu masih belum menemui jalan penyelesaian terhadap masalah yang membelenggu jentera mereka. – AGENSI














