BUKIT KAYU HITAM – Seorang lelaki Thailand ditahan ketika cuba menyeludup 400 liter petrol ke negara jiran di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada kelmarin.
Suspek berusia lingkungan 50-an dicekup Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Blok B, laluan keluar Kompleks ICQS kira-kira 10.45 pagi.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Fauzi Mohd Yusof berkata, pemeriksaan terhadap kenderaan bernombor pendaftaran Thailand itu menemui pengubahsuaian pada bahagian belakang serta ruang tempat duduk.
Katanya, pengubahsuaian tersebut dipercayai bagi tujuan menyeludup petrol.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kira-kira 400 liter petrol bernilai RM1,550 disembunyikan di dalam kenderaan itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, kenderaan tersebut dirampas dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM6,550.
“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














