PETALING JAYA – Cadangan memperluaskan penggunaan biodiesel B100 berasaskan 100 peratus minyak sawit mentah (MSM) dilihat sebagai langkah konkrit dalam membela nasib warga peneroka, sekali gus meningkatkan pendapatan serta mengurangkan beban kos sara hidup.
Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Datuk Sulong Jamil Mohamad Shariff berkata, kerjasama antara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan FGV Holdings Berhad itu bukan sekadar dasar tenaga, sebaliknya memberi nilai tambah kepada hasil peneroka.
“Apabila minyak sawit digunakan secara meluas sebagai bahan api, ia membuka ruang permintaan yang lebih stabil. Ini secara langsung membantu meningkatkan pendapatan peneroka dan memberi jaminan ekonomi yang lebih kukuh kepada keluarga mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihaknya turut mencadangkan agar Koperasi Permodalan Felda (KPF) dilantik sebagai pengedar tunggal B100, termasuk menyediakan kiosk khas di kawasan Felda.
Katanya, pelaksanaan itu boleh diuruskan melalui syarikat KPF berteraskan ekonomi hijau bagi memastikan pulangan ekonomi kembali kepada peneroka sebagai pencarum.
“Pendekatan ini akan memastikan manfaat ekonomi kembali kepada peneroka, sekali gus mewujudkan kitaran ekonomi yang berpusar dalam komuniti sendiri,” ujarnya.
Tambah beliau, penggunaan B100 secara menyeluruh melibatkan kenderaan operasi, jentera ladang dan mekanisasi Felda mampu mengurangkan kebergantungan terhadap diesel.
“Ini bukan sekadar soal teknologi, tetapi soal kebajikan rakyat. Apabila kos dapat dikawal dan hasil meningkat, kehidupan peneroka akan menjadi lebih terjamin,” jelasnya.
Dalam pada itu, pelaksanaan B100 dijangka memberi impak positif kepada industri sawit negara, selain memastikan komoditi utama itu kekal stabil dan terus menyumbang kepada ekonomi.
“Daripada ladang kepada tenaga, kembali kepada peneroka,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dilaporkan berkata, B100 berpotensi muncul sebagai sumber tenaga alternatif yang lebih kompetitif dan mampan susulan ketidaktentuan akibat krisis Asia Barat.
Beliau berkata, pelaksanaan B100 yang masih di peringkat dasar akan dimulakan dalam ekosistem Felda terlebih dahulu.
Ahmad Shabery turut memaklumkan perkara itu telah dibangkitkan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. – KOSMO! ONLINE














