JOHOR BAHRU – Seorang bekas eksekutif jualan sebuah syarikat hartanah dihadapkan ke mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan pecah amanah melibatkan wang pembayaran pembelian rumah berjumlah RM1,050,610, sejak 30 Mei 2022 hingga 15 Oktober tahun lalu.
Tertuduh, Rafidah Abdul Hamid, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga ibu tunggal tiga anak didakwa melakukan pecah amanah dengan curangnya telah menggunakan wang berjumlah antara RM73,000 hingga RM317,610 untuk kepentingan dirinya.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di tingkat satu sebuah bangunan di Jalan Ibrahim di sini antara 30 Mei 2022 hingga 15 Oktober tahun lalu.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM40,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin selain menetapkan 6 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di balai polis setiap bulan.
Berdasarkan fakta kes, pengurus syarikat berusia 63 tahun itu membuat laporan polis pada 31 Mac lalu selepas menerima panggilan daripada sebuah firma guaman berhubung satu perjanjian jual beli hartanah melibatkan dua individu.
Hasil semakan dalaman syarikat mendapati tiada rekod rasmi berhubung urusan jual beli berkenaan direkodkan dalam sistem atau akaun syarikat.
Siasatan lanjut mendapati tertuduh yang berkhidmat sejak 2021 dipercayai menerima sejumlah wang tunai daripada seorang pembeli pada Januari 2024, namun wang itu tidak diserahkan kepada bahagian akaun atau dimasukkan ke dalam akaun rasmi syarikat.
Tertuduh juga didakwa memalsukan tandatangan pegawai syarikat dalam dokumen perjanjian jual beli yang disediakan firma guaman bagi melengkapkan urusan berkenaan.
Selain itu, tertuduh turut dipercayai menggunakan modus operandi sama untuk menerima wang tunai daripada seorang individu lain pada tahun sama.
Syarikat terbabit hanya menyedari perkara itu selepas menerima pertanyaan daripada pihak guaman sebelum membuat laporan polis bagi tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE














