PETALING JAYA – Kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai industri getah terus diperkukuh menerusi pengenalan inovasi terbaharu oleh pengeluar peralatan tidur tempatan, Getha, dalam segmen tilam premium berasaskan lateks.
Getha dalam kenyataan berkata, pelancaran tilam Transforme Miracle Latex PrimeFibre yang berlangsung di Sunway Pyramid, di sini semalam bukan sekadar menampilkan pilihan baharu buat pengguna, malah mencerminkan peralihan industri daripada pengeluaran bahan mentah kepada pembangunan produk bernilai tinggi.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan dan Pengurusan), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Bahria Mohd. Tamil yang menyifatkan inisiatif berkenaan selari dengan aspirasi negara untuk memperkukuh sektor pembuatan berteknologi tinggi.
Bahria berkata, acara tersebut menjadi satu lagi contoh yang membuktikan kemampuan syarikat tempatan menghasilkan produk premium berasaskan sumber asli,
“(Sekali gus) membuktikan Malaysia tidak lagi bergantung kepada eksport komoditi semata-mata,” katanya.
Sejak diperkenalkan pada November 2025, tilam Transforme Miracle Latex telah membantu ribuan rakyat Malaysia menikmati tidur yang lebih lena.
Mengekori kejayaan itu, Getha kini tampil dengan versi tilam yang dipertingkatkan iaitu Transforme Miracle Latex PrimeFibre Mattress, merupakan antara inovasi peralatan tidur semula jadi paling maju pernah dihasilkan syarikat setakat ini.
Tilam premium ini menggabungkan bahan Miracle Latex berasaskan teknologi proprietari Graphite+ bersama lapisan 100 peratus lateks semula jadi, sekali gus mengukuhkan lagi kaitan erat Getha dengan industri getah Malaysia yang terkenal di peringkat dunia.
Sehubungan itu, Bahria menambah, pendekatan tersebut bukan sahaja memberi nilai tambah kepada sumber tempatan, malah memenuhi keperluan pengguna moden yang semakin menitikberatkan keselesaan serta ciri mesra alam dalam produk harian.
“Inilah yang dikatakan sebagai ‘Made by Malaysia’; produk yang bukan sahaja dibuat di Malaysia, malah diilhamkan, direka dan dibangunkan melalui kepakaran dan kreativiti rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Getha memaklumkan, struktur tilam Transforme Miracle Latex PrimeFibre turut menumpukan kepada sokongan tubuh secara lebih seimbang serta keupayaan mengawal suhu melalui fabrik BioCool, dengan penggunaan lapisan gentian berprestasi tinggi sekali gus membantu mengurangkan haba sepanjang tempoh tidur hasil teknologi Suprelle Cool Night.
Berharga daripada RM6,999, jenama peralatan tidur premium memperkenalkan promosi pelancaran yang menampilkan diskaun eksklusif 35 peratus dalam tempoh terhad berserta tawaran tukar beli sehingga RM1,500 pada Tilam Transforme Miracle Latex PrimeFibre.
Dengan setiap pembelian, pelanggan juga akan menerima sehingga dua unit percuma bantal Miracle Latex, setiap satu bernilai RM399, bergantung pada saiz tilam yang dipilih.
Sementara itu, Pengarah Projek Getha, Kevin Tan berkata, pembangunan produk tersebut turut dipacu oleh maklum balas pengguna yang mahukan tahap ketahanan dan keselesaan lebih tinggi berbanding model terdahulu terutamanya selepas pelancaran tilam Miracle Latex pada November lepas.
“Ramai yang menyatakan keinginan untuk tilam yang lebih premium, tebal, dan padat, dan kami juga menerima permintaan lebih-lebih lagi daripada golongan profesional muda yang baru memulakan kerjaya yang menginginkan pilihan lebih mampu milik,” katanya.
Bagi memenuhi permintaan tersebut, Getha turut memperluas capaian pasaran dengan menawarkan model alternatif pada harga lebih mampu milik secara dalam talian, khususnya menyasarkan golongan profesional muda dan pembeli rumah pertama.
Bermula pada harga RM2,499, Tilam Miracle Latex turut ditawarkan dengan kemudahan ansuran serendah RM47 sebulan, manakala bagi tempoh terhad, pelanggan boleh memanfaatkan rebat sehingga RM1,500 tertakluk kepada saiz tilam.
Dari segi teknologi, Miracle Latex Mattress menggunakan formulasi lateks paling maju Getha sejak 1969, digabungkan dengan teknologi Graphite+ Infused Natural Latex serta Anti Static Protection Technology, sekali gus menghasilkan gabungan keselesaan, sokongan dan ketahanan dalam pakej lebih mampu milik.

Pada majlis sama, Getha turut menerima dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records bagi kategori tilam lateks semula jadi pertama dengan teknologi Graphite+ serta tilam penyejuk semula jadi pertama dalam negara.
Pencapaian tersebut menambah koleksi kecemerlangan Getha yang sebelum ini telah dinobatkan sebagai pemenang World Branding Awards buat kali ke-10 sejak 2015 pada November lalu.
Secara keseluruhannya, pelancaran ini bukan sekadar memperkenalkan inovasi kepada pengguna, malah mencerminkan hala tuju baharu sektor pembuatan Malaysia yang semakin tertumpu kepada inovasi, kelestarian dan pembangunan produk bernilai tinggi bagi memenuhi permintaan pasaran global yang kian kompetitif.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.getha.com.my. – KOSMO! ONLINE














