PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat dan angin kencang membabitkan beberapa kawasan di Semenanjung dan Sarawak hingga pukul 5 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, kawasan yang terlibat di Semenanjung adalah Perak (Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar dan Batang Padang) dan Kelantan (Jeli, Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh, Kuala Krai dan Gua Musang).
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Terengganu (Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman) serta Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin),” lapor MetMalaysia.
Amaran sama turut dikeluarkan bagi Johor (Tangkak, Muar, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).
Sementara itu di Sarawak, cuaca buruk dijangka berlaku di Sarikei (Meradong), Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah, Kapit (Song, Kapit dan Bukit Mabong), Bintulu (Tatau dan Sebauh) dan Limbang.
Bagi Sabah, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu, Beaufort dan Tambunan) dan Pantai Barat.
Dalam masa sama, seluruh Labuan juga akan terkesan dengan ribut petir dan hujan lebat bagi tempoh tersebut.
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” lapor MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE














