JOHOR BAHRU – Dua lelaki Singapura dikenakan denda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuang puntung rokok di tempat awam, awal tahun ini.
Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Orang Kena Saman (OKS), Lim Hu Shen dan Tan Boon Haw masing-masing berusia 38 tahun.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama sebulan jika gagal membayar denda tersebut selain perlu menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) selama enam jam tidak lebih dalam tempoh enam bulan.
Hu Shen yang bekerja sebagai arkitek dan Boon Haw bekerja sebagai pengurus projek didakwa membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok di tempat awam atau jalan awam dan bukan di dalam bekas yang diperuntukkan bagi maksud membuang sisa pepejal tersebut.
Perbuatan itu didakwa dilakukan OKS di hadapan pintu masuk sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru, pada pukul 11.02 pagi dan 11.11 pagi, 3 Januari lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan sebagai tambahan boleh dikenakan suatu perintah khidmat masyarakat di bawah subseksyen 77B(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM2,000 dan sebagai tambahan suatu perintah khidmat masyarakat maksimum 12 jam, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Rubiah Maulud manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – KOSMO! ONLINE














