fbpx
Anwar pada Dialog Kuala Lumpur-Ankara di ibu negara hari ini - Foto oleh FARIZ RUSADIO

Anwar tekankan peranan ‘Track Two’ dalam usaha damai global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa usaha keamanan global kini tidak boleh hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan peranan aktif pelbagai pihak termasuk komuniti diplomasi tidak rasmi atau ‘Track Two’.

Anwar berkata, ekosistem ‘Track Two’ yang merujuk kepada bentuk diplomasi tidak rasmi melibatkan ahli akademik, badan pemikir dan wakil masyarakat sivil menyediakan ruang penting untuk perbincangan jujur serta isu-isu sukar yang sering tidak dapat ditangani di peringkat diplomasi formal.

“Walaupun pelbagai kerajaan, termasuk Malaysia sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk meyakinkan pihak yang bertelagah agar menamatkan operasi ketenteraan mereka, kita juga mesti mengiktiraf bahawa tanggungjawab untuk memajukan keamanan tidak terletak pada kerajaan semata-mata.

“Golongan dalam komuniti ‘Track Two’ juga memikul tanggungjawab penting di mana ekosistemnya mewujudkan ruang untuk penglibatan yang jujur dan perbincangan sukar yang tidak sentiasa dapat dilaksanakan di peringkat formal,” katanya pada Dialog Kuala Lumpur-Ankara yang dianjurkan bersama Institute of Strategic and International Studies Malaysia dan SETA Foundation di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, walaupun dunia kini dipacu oleh negara yang mempunyai kekuatan ketenteraan dan ekonomi, kelangsungan serta kemakmuran sesebuah negara bergantung kepada tiga asas utama iaitu kedaulatan, keselamatan sumber dan keupayaan pertahanan kendiri.

Bagaimanapun, katanya, terdapat satu lagi elemen penting yang perlu diperakui semua pihak iaitu hubungan saling kebergantungan dua hala dan pelbagai hala yang kukuh.

“Namun hari ini kita menyaksikan hakisan terhadap kedaulatan apabila tindakan ketenteraan digunakan secara tidak terkawal dan tanpa batas, sekali gus meruntuhkan prinsip asas kestabilan antarabangsa,” katanya.

Mengulas perkembangan di Asia Barat, Anwar menyifatkan tindakan ketenteraan berterusan termasuk serangan ke atas Iran sebagai bukti penyimpangan serius dalam penggunaan kuasa ketenteraan yang dilakukan tanpa mengambil kira nyawa manusia dan nilai kemanusiaan.

Beliau turut mengkritik keadaan gencatan senjata yang sering kali hanya menjadi jeda sementara sebelum konflik kembali memuncak.

“Apa yang diperlukan kini bukan sekadar pengurusan konflik, tetapi penyelesaian menyeluruh dengan komitmen sebenar untuk meredakan ketegangan berasaskan saling hormat dan kepatuhan kepada undang-undang antarabangsa,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau memberi amaran bahawa konflik berpanjangan berisiko mencetuskan perlumbaan senjata baharu yang berbahaya serta meningkatkan ketidakpercayaan antara negara di rantau terbabit.

“Sebagai sahabat kepada Iran dan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk, Malaysia kekal dengan pendirian berprinsip bahawa keamanan serantau mesti dikembalikan melalui kerjasama bersama dan penolakan terhadap sebarang bentuk pencerobohan luar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN