KUALA LUMPUR – Gara-gara hutang dibuat dibuat bapa saudara kira-kira RM15,000, seorang lelaki hidup ketakutan apabila dikejar along dipercayai dari Singapura sejak bulan lalu.
Lelaki dikenali sebagai Lee, 42, itu berkata, dia turut menanggung malu apabila along berkenaan turut menganggu jiran dengan menyimbah cat merah pada pagar dan kereta bagi memberi tekanan serta memalukan keluarganya.
Katanya, dia menerima WhatsApp daripada pengerusi komuniti pada 21 Mac lalu yang menunjukkan nota berisi butiran peribadi ibu dan bapa saudaranya.
“Bapa saudara saya dipercayai meminjam SGD 5,000 (kira-kira RM15,500). Walaupun alamat dalam nota itu salah dan terkena rumah jiran, Along tersebut tetap mengugut akan membakar rumah sekiranya hutang tidak dijelaskan.
“Kami sudah tidak berhubung dengan bapa saudara itu sejak sembilan tahun lalu kerana masalah judinya, namun sekarang kami dan jiran yang terpaksa menanggung trauma,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA, di sini hari ini.
Lee memberitahu, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Rawang.
Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, siasatan mendapati sindiket along berkenaan dipercayai dari Singapura menggunakan khidmat ‘runner’ dengan bayaran antara RM500 hingga RM700 untuk melakukan kerja khianat seperti menyimbah cat.
Katanya, bulan ini sahaja pihaknya telah menerima sebanyak 83 kes berkaitan gangguan Ah Long yang melibatkan jumlah kerugian mencecah RM7.4 juta. — KOSMO! ONLINE














