PETALING JAYA – Disayangi ramai, pelakon Kodi Rasheed pula menzahirkan sokongan terhadap Que Haidar dengan memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak menabur sebarang fitnah ke atas aktor berkenaan.
Menurut Kodi, dia mengenali Que atau nama penuhnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar sejak sekian lama dan sudah dianggap seperti abangnya sendiri.
“Luar dalam atas bawah kiri kanan depan belakang semua aku tahu!
“Tolonglah jangan dijolok sarang tebuan. Aku sayang abang aku.
“Sakit dia sakitlah aku. Simpan Aib masing-masing okey, nasihat saja,” katanya dalam Threads.
Dalam masa sama, dia juga melahirkan rasa terharu melihat ramai pihak memberi sokongan kepada bintang filem Rock berkenaan sejak tular pelbagai dakwaan berbaur fitnah beberapa hari lalu.
“Allah, untungnya Que Haidar, ramai orang sayang.
“Baru buat ‘comeback’ terus pergi dia lain macam. Doakan saya jugak ya,” katanya lagi.
Baru-baru ini, bekas isteri Que iaitu Linda Jasmine memberi bayangan seolah-olah dia bercerai dengan Que pada Julai 2024 disebabkan mahu melindungi anak-anak mereka daripada kejahatan.
Rentetan itu, ramai pihak memberi sokongan dan tampil mempertahankan Que termasuk rakan artis dan adik perempuannya.
Untuk rekod, Linda dan Que mendirikan rumah tangga pada tahun 2009 sebelum disahkan bercerai pada Julai 2024.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Tengku Ratu Haidar dan Tengku Cleopatra Haidar. – KOSMO! ONLINE














