SHAH ALAM – Dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) akan dilaksanakan di Selangor dari Selasa hingga Khamis setiap minggu bermula 15 April ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu bagi menjimatkan penggunaan bahan bakar api serta kesesakan jalan raya di samping mengukuhkan produktiviti pegawai.
Menurutnya, dasar ini akan disemak secara bulanan mengikut keadaan, keperluan,
serta keberkesanan.
“Sektor swasta di Selangor turut digalakkan untuk melaksanakan Dasar BDR melihat kepada kesesuaian industri. Kerajaan negeri bersedia membantu dari segi adaptasi teknologi digital,” katanya hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut akan menghentikan urusan perjalanan rasmi ke luar negara bagi semua jabatan kecuali berkaitan urusan menggalakkan pelaburan dan pelancongan dari luar negara ke Selangor.
Jelasnya, ini supaya ekonomi tempatan, industri sokongan, serta peluang pekerjaan bagi rakyat Selangor dapat terus berlangsung.
“Di peringkat kerajaan negeri, setiap jabatan perlu mengkoordinasi usaha
serta program dan bekerja dalam mod krisis.
“Perang ini akan meninggalkan kesan jangka masa panjang kepada ekonomi negara dan Selangor. Setiap warga Selangor perlu berganding bahu supaya kita bersedia mengharungi cabaran yang akan dihadapi,” katanya. – KOSMO! ONLINE














