LONDON – Taktikal hantaran jauh yang digunakan oleh Southampton menyaksikan Arsenal ‘lemas’ apabila berdepan kejutan ketika tewas 1-2 pada aksi suku akhir Piala FA pada aksi di St. Mary awal pagi semalam.
Keputusan itu menyaksikan Arsenal hilang satu lagi peluang untuk menjulang kejuaraan musim ini ketika mereka dicanang mampu memburu gelaran quadruple musim ini selepas turut kecundang pada aksi final Piala Liga Inggeris (EFL).
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta tidak dapat lagi berselindung dan mengakui terpaksa mengharungi detik yang agak janggal ketika melihat anak buahnya berdepan kesukaran bagi mengekang taktikal Southampton.
“Pada perlawanan kali ini, kami tidak mampu untuk menghalang dengan baik hantaran jauh di mana situasi ini agak pelik buat kami. Di babak pertama, kami hanya membiarkan bola melepasi kawalan kami.
“Kemudiannya mereka (Southampton) menggerakkan situasi satu lawan satu. Jaringan kedua yang kami lepaskan juga berlaku dengan cara sama dan agak sukar untuk saya berikan penjelasan.
“Bagaimanapun, saya harus memberikan kredit kepada Southampton atas apa yang mereka lakukan hingga memperoleh kemenangan,” katanya.
Dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), The Gunners yang sudah bermain 31 kali sedang memimpin carta dengan 70 mata dan hanya berkelebihan sembilan mata berbanding Manchester City yang masih kurang satu perlawanan.
Kekalahan itu menyaksikan Arsenal hanya memiliki dua sahaja lagi peluang untuk menjulang kejuaraan iaitu EPL atau Liga Juara-Juara ketika mereka bakal turun menentang Sporting Lisbon pada aksi suku akhir awal pagi Rabu ini. – AGENSI














